KUALA LUMPUR: Syarikat pemproses dan pengedar daging, MyAxis Group Berhad (MyAxis) membuat penampilan sulung di Pasaran LEAP Bursa Malaysia hari ini pada 18 sen sesaham, mencerminkan premium 6 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 12 sen sesaham.
Terbitan awam tersebut melibatkan sebanyak 44.1 juta saham baharu dengan nilai keseluruhan IPO bernilai RM5.3 juta.
Pengerusi Eksekutif MyAxis, Datuk Tan Hwa Sing berkata, syarikat merancang pelaksanaan strategi dua serampang bagi memperkukuh kedudukan dalam industri pemprosesan makanan.
“Pertama, kami akan meningkatkan kapasiti pemprosesan menerusi pelaburan RM11.3 juta di Bukit Kayu Hitam, yang dijangka menggandakan kapasiti ayam kepada 708,000 kilogram (kg) serta peningkatan kapasiti daging merah sebanyak tiga kali ganda kepada 1.87 juta kg.
“Kedua, kami mahu meluaskan asas pelanggan, khususnya dalam kalangan penyedia perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), hotel serta pengeluar makanan,” katanya semasa sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.
Katanya, anak syarikat milik penuhnya, KK Fresh Frozen Sdn. Bhd. (KK Fresh) bergiat dalam perniagaan pengedaran daging sejuk beku sejak 2015 dengan produk yang diedarkan termasuk ayam beku, daging merah dan makanan laut.
“Pada tahun 2024, kumpulan memulakan fasa baharu dengan meneroka sektor huluan menerusi pemprosesan dan penjualan produk ayam serta daging merah di bawah jenama KK Fresh.
“Penyenaraian ini adalah detik penting buat MyAxis. Kami yakin kemudahan pemprosesan daging baharu akan melonjakkan jenama kami ke tahap seterusnya.
“IPO ini bukan sahaja meningkatkan profil korporat syarikat, tetapi juga membuka laluan untuk pertumbuhan lebih pantas menerusi akses kepada pasaran modal,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasaran Malaysia, dengan matlamat memulakan operasi di kemudahan pemprosesan yang diperakui Halal di Bukit Kayu Hitam menjelang Ogos ini.
Katanya, kemudahan pemprosesan baharu itu penting bagi memastikan produk keluaran MyAxis mematuhi standard halal dan menembusi pasaran yang lebih luas.
“Setakat ini, pelaksanaan masih mengikut jadual. Kami menjangka akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang. Mudah-mudahan, semua lesen dan pengiktirafan antarabangsa yang diperlukan dapat diperoleh.
“Tanpa pensijilan halal, kami tidak dapat pergi jauh. Memandangkan operasi kecil kami sedia ada di Alor Setar sudah mendapat kelulusan halal, kami yakin dan bersedia untuk bergerak lebih jauh serta meningkatkan kapasiti pengeluaran pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 50 peratus bekalan daging syarikat diperoleh dari Thailand, manakala selebihnya termasuk import dari China melalui pengedar yang diluluskan serta sumber tempatan.
“Bahan mentah yang diimport akan diproses dalam negara dan dibekalkan ke seluruh Malaysia, memandangkan pasaran tempatan masih mempunyai potensi besar untuk diterokai,” katanya. – UTUSAN