PETALING JAYA: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuatkuasa 4 Julai ini.
Beliau berkata, keputusan itu perlu dilakukan kerana dirinya tidak lagi memegang mandat penuh dalam PKR dan sentiasa percaya kepemimpinan mesti berasaskan kepercayaan dan akauntabiliti.
“Ia bukan keputusan yang mudah. Saya mempunyai pekerjaan yang istimewa, pasukan yang hebat di pejabat dan kementerian, peluang untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil serta sektor korporat. Ia adalah satu tempoh yang sangat bermakna bagi saya.
“Namun, menjadi menteri boleh membuat kita terperangkap dalam ‘gelembung’, ada keistimewaan, pengiring keselamatan dan protokol dalam setiap acara. Saya rasa, jika kita terlalu terikat, ia boleh menjadi sesuatu yang berbahaya.
“Akhirnya, saya juga berfikir sebagai ahli politik, menghormati mandat itu sangat penting. Apabila saya tidak lagi mendapat mandat penuh daripada parti, saya rasa sukar untuk saya teruskan,” katanya menerusi audio siar The Good Cast Show yang dimuat naik dalam Instagramnya, hari ini.
Pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan agar Ahli Parlimen Setiawangsa itu dapat meneruskan tugas sebagai menteri dan memberikan masa serta peluang untuk beliau berfikir.
Nik Nazmi menyerahkan surat perletakan jawatan pada 28 Mei lalu, yang berkuatkuasa pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, beliau akan terus memberi sokongan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam termasuk menteri baharu yang bakal menggantikan dirinya kekal demi kepentingan dan masa depan negara serta rakyat. – UTUSAN