SCORE Maraton ‘pikat’ 33,000 pelari dari 48 negara

Sukan

PETALING JAYA: SCORE Maraton 2025 ditaja oleh AIA Vitality dijadualkan berlangsung pada 13 Julai ini mendapat sambutan cukup luar biasa apabila berjaya menarik minat lebih 33,000 peserta dari 48 negara seluruh dunia.

Jumlah itu membuktikan bahawa kejohanan ini sentiasa dinanti oleh para pelari sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara acara larian paling berpengaruh di Malaysia dan rantau Asia.

Edisi kali ini mencatat rekod penyertaan tertinggi iaitu seramai 33,000 pelari dari 48 negara, dengan menunjukkan peningkatan 36 peratus berbanding 24,253 peserta tahun lalu.

Lebih membanggakan, SCORE Maraton juga mendapat pengiktirafan sebagai Label Perlumbaan Jalan Raya Olahraga Dunia, sekali gus menyertai kelompok eksklusif 301 acara bertaraf dunia dan hanya tiga kejohanan seperti ini dari Malaysia menerima pensijilan itu.

“Dari permulaan sederhana pada 2014 dengan hanya 3,674 peserta, kami terus berkembang hingga menembusi pentas antarabangsa. Dengan tema tahun ini Conquer Your Next Challenge, kami mahu semua peserta menetapkan sasaran baharu dan menawan cabaran masing-masing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan.

SCORE Maraton turut diperakui sebagai acara kelayakan kepada Abbott World Marathon Majors, selain diiktiraf oleh AIMS (Association of International Marathons and Distance Races) serta mendapat sokongan berterusan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Saingan kali ini menawarkan empat kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km, 21km dan 42km, merentasi laluan ikonik Putrajaya yang penuh pemandangan menarik seperti jambatan, tasik dan lebuh raya lebar, sesuai untuk mengejar catatan terbaik atau menikmati pengalaman race-cation.

Dalam perkembangan sama, AIA Vitality yang telah menjadi penaja utama untuk tahun keempat berturut-turut meneruskan komitmen mereka kepada gaya hidup aktif dan sihat.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, Chee Foong Wai, SCORE Maraton bukan hanya larian tetapi ia adalah simbol kepada komuniti, kesihatan dan pencapaian diri.

“Kami bangga menyokong gerakan ini yang menyatukan pelari dari pelbagai latar belakang,” katanya.-UTUSAN