Ketidaktentuan pasaran, jejas penyenaraian syarikat

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan pasaran saham tempatan yang berlarutan serta ketiadaan sentimen sokongan yang kukuh daripada kerajaan dilihat menjadi faktor utama syarikat-syarikat swasta mengambil pendekatan berhati-hati untuk disenaraikan di Bursa Malaysia ketika ini.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, semakin ramai pengasas dan pengurusan syarikat mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat; disebabkan oleh prestasi hambar yang dicatatkan oleh beberapa tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini. 

“Terdapat IPO yang mencatatkan penurunan harga saham seawal hari pertama dagangan – satu petanda bahawa keyakinan pelabur masih lemah.

“Ramai syarikat gusar untuk ‘go public’ buat masa ini kerana pasaran terlalu tidak menentu. 

“Malah, ada IPO yang dibuka di bawah harga tawaran, sekali gus memberi isyarat risiko yang tinggi kepada syarikat-syarikat lain yang sedang menimbang untuk disenaraikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Tambah beliau, harga IPO yang ditetapkan oleh penaja jamin dan penilai syarikat perlu lebih menarik dan realistik malah, lebih rendah sedikit daripada anggaran nilai syarikat untuk menarik minat pelabur institusi dan runcit.

“Kerajaan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam merangsang keyakinan pelabur melalui dasar yang konsisten, insentif mesra pelaburan dan inisiatif pemulihan pasaran modal yang lebih menyeluruh.

“Tanpa sentimen kukuh atau hala tuju ekonomi yang jelas, syarikat sukar untuk melihat kelebihan menjadi entiti tersenarai. 

“Mereka bukan sahaja terdedah kepada risiko pasaran, tetapi juga beban pematuhan dan kos penyenaraian yang tinggi,” tambahnya.

Dalam suasana semasa yang dipengaruhi oleh faktor geopolitik, kadar faedah global yang tinggi serta jangkaan kelembapan pertumbuhan ekonomi, pihak berkepentingan menyeru agar kerajaan dan pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia memperkenalkan langkah proaktif bagi memulihkan semula minat terhadap IPO dan penyenaraian awam.

Setakat ini, bilangan IPO pada separuh pertama 2025 dilaporkan menurun berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan sentimen pasaran yang masih lemah.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ketidaktentuan yang berpanjangan dalam persekitaran ekonomi serta ketiadaan dasar sokongan yang jelas daripada pihak kerajaan menjadi antara punca utama syarikat-syarikat swasta mengambil pendekatan lebih berhati-hati menyertai pasaran ekuiti. 

“Situasi ini menyebabkan ramai pengendali syarikat memilih untuk menangguhkan rancangan penyenaraian, bimbang tidak mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelabur.

“Dalam suasana pasaran yang tidak menentu, penilaian rendah terhadap syarikat serta kekurangan minat pelabur, terutamanya institusi tempatan yang menjadikan penyenaraian bukan lagi pilihan utama. 

“Lebih membimbangkan, persepsi bahawa kerajaan tidak menunjukkan komitmen yang kukuh dalam menyokong pertumbuhan pasaran modal dilihat turut menjejaskan keyakinan komuniti perniagaan terhadap kestabilan dan daya tarikan Bursa Malaysia,” katanya. 

Beliau berpendapat kerajaan perlu segera memainkan peranan lebih aktif dalam mengembalikan keyakinan pelabur dan peserta pasaran. 

“Antara langkah yang disarankan termasuk pengenalan insentif fiskal bagi merangsang penyenaraian syarikat baharu, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi seperti teknologi, serta penyampaian mesej ekonomi yang konsisten dan meyakinkan.

“Selain itu, sokongan daripada institusi pelaburan utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga dilihat penting dalam memastikan IPO baharu mendapat sambutan sewajarnya, seterusnya memulihkan momentum pasaran modal tempatan,” ujarnya. 

Tambahnya, penambahbaikan menyeluruh terhadap ekosistem penyenaraian, termasuk laluan pantas kepada syarikat berpotensi dan bantuan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut dianggap sebagai elemen penting dalam usaha merangsang semula aktiviti IPO. -UTUSAN