Boost perluas capaian rentas sempadan bersama UnionPay

Perniagaan

PETALING JAYA: Boost, peneraju teknologi kewangan serantau, mengumumkan peningkatan keupayaan pembayaran rentas sempadan menerusi kerjasama strategik terbaharu bersama UnionPay International (UPI).

Kerjasama itu menyaksikan penyertaan sistem Boost dalam ekosistem pembayaran digital global, termasuk penerimaan terus di peruncit QR Weixin Pay di China, yang lebih dikenali sebagai WeChat Pay.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, langkah itu membolehkan pengguna aplikasi tersebut membuat pembayaran secara terus di kedai-kedai di luar negara seolah-olah berada di Malaysia, hanya dengan satu aplikasi dan satu langkah.

“Perkembangan ini sejajar dengan matlamat kami untuk menjadikan teknologi kewangan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat, sekali gus memperkukuh aspirasi kami sebagai platform pembayaran digital serantau,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Liza berkata, kerjasama itu membuktikan kemajuan pesat yang dicapai syarikat dalam membina ekosistem perbankan terbina yang komprehensif dan bersepadu serta memudahkan urusan harian pengguna. 

“Sejak mula, Boost eWallet menjadi batu loncatan untuk kami membina ekosistem perkhidmatan kewangan berintegrasi yang lebih meluas. 

“Kini pengguna tidak perlu lagi menukar platform dengan adanya akses langsung kepada ciri-ciri perbankan seperti Boost PayFlex dan tambah nilai langsung dari Boost Bank dalam pengalaman pembayaran harian mereka. 

“Dengan memanfaatkan rangkaian global UnionPay dan kedudukan dominannya di China, pengguna Boost kini boleh menikmati transaksi tanpa tunai merentas sempadan dengan mudah di mana sahaja mereka berada,” katanya. 

Pengguna Boost kini boleh menggunakan ciri Scan & Pay tanpa memerlukan aplikasi tambahan atau pendaftaran lanjut bagi membuat pembayaran di China, dengan mengimbas kod pembayaran QR, termasuk kod statik di pelbagai cawangan beli-belah. 

Selain China, perkhidmatan ini turut diperluas ke pedagang Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Kemboja, Korea Selatan dan Australia.

 Pengguna juga dapat mengakses terus kemudahan seperti Boost eWallet Top-up,  PayFlexTM 

Cash-in dan tambah nilai automatik daripada akaun simpanan Boost Bank melalui perkhidmatan kewangan terbina.-UTUSAN