Sektor penjagaan kesihatan dijangka terus berkembang kukuh

Perniagaan

PETALING JAYA : Sektor penjagaan kesihatan negara dijangka terus berkembang kukuh pada separuh kedua 2025, dipacu oleh lonjakan teknologi dan inovasi perubatan. 

Bagaimanapun, peningkatan kos rawatan kesihatan yang tinggi kekal menjadi cabaran utama yang perlu ditangani segera, demikian menurut Laporan Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2025 MIDF Research. 

Laporan penyelidikan itu menunjukkan, kemajuan dalam teknologi rawatan seperti ubat-ubatan terkini, penggunaan robotik dalam pembedahan serta aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) bakal merubah landskap kesihatan global dan tempatan dalam tempoh terdekat.

Katanya, penggunaan robotik dalam prosedur pembedahan semakin meluas, dengan pasaran global dijangka berkembang kepada AS$9 bilion tahun ini. 

Inovasi seperti sistem pembedahan miniatur, integrasi AI, serta pembedahan jarak jauh (telesurgery) katanya akan meningkatkan permintaan terhadap rawatan pakar dan hasil klinikal yang lebih baik.

“Perkembangan teknologi digital dan AI dalam sistem kesihatan juga diutamakan, dengan fokus kepada meningkatkan kecekapan operasi hospital, penglibatan pesakit dan keberkesanan rawatan,” katanya. 

Namun begitu, laporan MIDF Research itu juga menunjukkan terdapat cabaran besar kepada sektor kesihatan iaitu inflasi perubatan, yang terus meningkat saban tahun dan memberi tekanan kepada pesakit, penyedia perkhidmatan serta syarikat insurans.

Malaysia katanya dijangka mencatatkan kadar inflasi perubatan tertinggi dalam dekad ini, iaitu sebanyak 16.4 peratus pada 2025, lebih tinggi berbanding 12.3 peratus di peringkat serantau dan meningkat 0.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, antara punca utama peningkatan kos ini termasuk penggunaan perkhidmatan secara berlebihan, tuntutan insurans yang semakin tinggi, serta pertambahan populasi warga emas.

Situasi itu katanya diburukkan lagi dengan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, kadar tukaran asing yang tidak menentu serta kenaikan tarif ke atas produk dan alat perubatan yang diimport.

“Sebagai langkah mengurangkan tekanan kos kepada pengguna, kerajaan telah melancarkan RESET Framework, iaitu satu pelan reformasi pembiayaan kesihatan untuk menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih mampu milik dan mampan.

“Salah satu langkah penting dalam pelan ini ialah pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) untuk rawatan kecil di hospital swasta, yang dijangka dapat meningkatkan ketelusan dan mengurangkan caj rawatan secara menyeluruh,” katanya. 

Malaysia juga katanya turut berada dalam kedudukan strategik untuk menarik pesakit antarabangsa, dengan kekuatan dalam bidang pelancongan perubatan dan kualiti rawatan yang bertaraf global.

Dalam kalangan syarikat tersenarai, IHH Healthcare dikenal pasti sebagai pilihan utama pelaburan memandangkan portfolio perniagaannya yang pelbagai di pelbagai negara membolehkannya mengimbangi kesan inflasi di pasaran tertentu.

IHH juga telah melancarkan pelan transformasi jangka panjang dengan tumpuan kepada kecekapan operasi, kecemerlangan klinikal dan penggunaan AI untuk memaksimumkan hasil kesihatan pesakit.

Secara keseluruhannya, MIDF Research mengekalkan saranan positif terhadap sektor penjagaan kesihatan, dengan jangkaan bahawa gabungan inovasi teknologi dan reformasi dasar kerajaan mampu membawa impak besar kepada sistem kesihatan negara dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.-UTUSAN