Ringgit berpotensi cecah RM4.15 akhir tahun disokong sentimen global

Perniagaan

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi mencecah paras sekitar RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, sekiranya sentimen pasaran terus disokong oleh perkembangan positif rundingan perdagangan global.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengurangan tarif AS terhadap Vietnam kepada 20 peratus memberi isyarat bahawa pentadbiran Donald Trump bersedia berkompromi dalam rundingan perdagangan antarabangsa.

Katanya, trend itu memberi harapan negara-negara yang sedang atau telah memulakan rundingan dengan AS untuk menerima layanan sama dari segi pengurangan tarif.

“Situasi ini sedikit sebanyak meredakan kebimbangan pelabur terhadap dasar proteksionisme AS dan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam pasaran kewangan serantau.

“Ringgit turut menerima manfaat apabila permintaan terhadap mata wang serantau kembali pulih berikutan sentimen pasaran yang lebih stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit turut mendapat sokongan daripada jangkaan pasaran bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan menurunkan kadar faedah sebanyak dua kali pada separuh kedua tahun ini.

Menurut beliau, kelemahan dolar AS juga dapat dilihat menerusi Indeks Dolar (DXY) yang merekodkan penurunan sebanyak 0.49 peratus bagi minggu ini, 1.75 peratus dalam tempoh sebulan dan 11.30 peratus sejak enam bulan lalu.

“Pelemahan dolar AS turut dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi negara itu, termasuk peningkatan tarif import yang diumumkan oleh Trump baru-baru ini.

“Langkah tersebut mendorong banyak negara menilai semula hubungan perdagangan mereka dengan Washington,” ujarnya.

Tambah beliau, penangguhan selama 90 hari oleh Trump yang dijangka tamat pada 9 Julai ini turut mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur memandangkan hala tuju dasar pentadbirannya masih belum jelas.

“Sehubungan itu, ringgit dijangka menguji paras antara RM4.20 hingga RM4.15 dalam beberapa minggu akan datang bergantung kepada perkembangan ekonomi dan kewangan semasa,” katanya.-UTUSAN