UM, Schneider Electric jalin kerjasama perkasa graduan industri mampan

Perniagaan

PETALING JAYA: Schneider Electric, peneraju transformasi digital pengurusan tenaga dan automasi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaya (UM), bagi melahirkan generasi graduan yang bersedia menghadapi cabaran industri.

Presiden Schneider Electric Malaysia, Eugene Quah berkata, perjanjian ini merupakan cerminan komitmen mereka bersama UM bagi melahirkan bakat yang akan menerajui Malaysia ke arah negara mampan. 

“Pihak kami melihat kerjasama ini sebagai usaha untuk pelaburan pada generasi akan datang dan memainkan peranan dalam membina asas bagi masa depan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan cekap tenaga. 

“Hasil kerjasama ini akan bantu membentuk pemimpin masa depan industri yang akan memacu misi kelestarian,” katanya dalam kenyataan.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden Negara Schneider Electric Malaysia, Eugene Quah dan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman. 

Schneider Electric dan UM akan berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun dan bekerjasama rapat di dalam skop berikut seperti kolaborasi di dalam projek penyelidikan, termasuk  pengambilan bakat pelajar dan pembangunan kapasiti dalam persekitaran binaan cekap tenaga. 

“Kami akan memberikan pendedahan industri kepada pelajar UM melalui program seperti Program Latihan Industri Schneider, Program Graduan Schneider dan Schneider Global Student Experience serta membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka kerjaya bersama Schneider Electric, yang telah diiktiraf sebagai Great Place to Work®.

“Selain itu, UM akan menjalankan bekerjasama aktiviti penyelidikan bersama yang menyelesaikan cabaran dunia sebenar dalam pengurusan tenaga, kelestarian dan infrastruktur pintar dengan memanfaatkan kepakaran universiti dalam bidang persekitaran binaan bagi menyokong sasaran infrastruktur hijau Malaysia,” katanya. 

Tambah Eugene, kolaborasi itu diasaskan atas nilai dan visi yang sama seperti memperkasa pemimpin masa depan, memajukan inovasi mampan dan memacu impak bermakna untuk Malaysia.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, sebagai institusi pengajian tinggi utama negara, mereka percaya penglibatan industri adalah penting dalam menyediakan pelajar untuk masa hadapan. 

“Universiti kami secara konsisten mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 90 peratus melalui penyelarasan program akademik dengan keperluan industri, seterusnya melahirkan inovator dan pencipta pekerjaan yang berkemahiran. 

“Penyelidikan kami dalam bidang teknologi mampan turut mengukuhkan ekonomi negara, memastikan graduan kami bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga menyumbang kepada masa depan yang lestari. 

“Dengan kerjasama ini, kita dapat membentuk satu generasi yang bukan sahaja bersedia bekerja, tetapi juga dipacu oleh matlamat,” katanya. 

Terdahulu, Schneider Electric turut menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi lain seperti INTI International University & Colleges serta Curtin University Malaysia bagi menyokong pembangunan akademik dan kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan.-UTUSAN