KUALA LUMPUR: Scoot, anak syarikat tambang murah Singapore Airlines (SIA), hari ini mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan baharu ke Da Nang dan Nha Trang di Vietnam dan Kota Bharu di Malaysia. Penerbangan ini akan bermula secara progresif antara Oktober dan November 2025.
Dalam satu kenyataan, katanya ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, Scoot juga akan melancarkan perkhidmatan ke Medan dan Labuan Bajo di Indonesia, dan Okinawa di Jepun semasa musim sejuk 2025.
Semua jadual penerbangan dan maklumat lanjut akan diumumkan menerusi saluran komunikasi Scoot dalam masa terdekat.
Da Nang terkenal dengan pantai yang indah, berbilang jambatan dan keindahan semulajadi seperti Gunung Marmar (Marble Mountains).
Ia juga menyediakan akses mudah ke tapak Budaya Dunia UNESCO, My Son Sanctuary dan bandar purba seperti Hoi An dan Hue.
Di selatan Vietnam, kemeriahan kehidupan malam dan makanan laut segar Nha Trang menjadi tarikan bagi mereka yang inginkan percutian tropika.
Penerbangan tiga kali seminggu ke Da Nang akan bermula pada 20 Oktober 2025 dengan pesawat Airbus A320 yang akan meningkat secara progresif kepada penerbangan harian menjelang Disember 2025.
Penerbangan dua kali seminggu ke Nha Trang pula akan bermula pada 21 November 2025 dengan pesawat Embraer E190-E2 dengan peningkatan kekerapan penerbangan secara progresif kepada lima kali seminggu menjelang Januari 2026.
Kota Bharu yang dikenali dengan istana keluarga diraja, masjid di tepi tasik dan keriuhan pasar-pasar merupakan sebuah hab kebudayaan dan sejarah yang terletak di negeri Kelantan, Malaysia.
Ia menawarkan pelancong pengalaman asli budaya tradisional masyarakat Melayu termasuk Rebana Ubi, Silat dan Wayang Kulit. Scoot akan beroperasi sebanyak dua kali seminggu dari Kota Bharu bermula 26 Oktober 2025 dengan pesawat Embraer E190-E2.
Pelancong dari Malaysia kini boleh terbang ke destinasi-destinasi baharu melalui Singapura dengan tambang satu hala kelas ekonomi 1 termasuk cukai bermula dari RM269 ke Da Nang dan RM279 ke Nha Trang. Manakala bagi pelanggan yang terbang dari Kota Bharu ke Singapura, tambang bermula dari RM109.
Penerbangan baharu akan tersedia untuk tempahan bermula hari ini melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan melalui saluran-saluran lain secara berkala.
Dengan pelancaran perkhidmatan ke Kota Bharu, Da Nang dan Nha Trang, Scoot akan mengoperasikan 115 penerbangan mingguan ke 12 bandar di Malaysia dan 44 penerbangan mingguan ke lima bandar di Vietnam.
Selain destinasi-destinasi baharu, bagi memenuhi jangkaan permintaan tambahan bagi perjalanan udara, Scoot juga bakal melakukan peralihan jadual kepada rangkaian penerbangan mereka bermula Julai 2025.
Di Asia Tenggara, Scoot bakal meningkatkan kekerapan penerbangan bagi beberapa destinasi terpilih. Bagi Indonesia, penerbangan ke Jakarta ditingkatkan dari 25 ke 28 kali seminggu bermula Julai 2025.
Filipina bakal menyaksikan peningkatan perkhidmatan ke Clark dari lima ke tujuh kali seminggu bermula Ogos, Davao dari 10 ke 12 kali seminggu bermula September 2025 dan Manila dari 13 ke 14 kali seminggu bermula September 2025 dengan tujuh perkhidmatan mingguan dioperasikan oleh pesawat Boeing 787 berukuran lebar.
Thailand juga bakal melihat peningkatan kekerapan penerbangan ke Hat Yai, dari 10 ke 11 kali seminggu bermula September 2025.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Scoot juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke Australia. Penerbangan ke Perth akan meningkat secara progresif dari 12 ke 14 kali seminggu bermula Ogos 2025, manakala Sydney akan mengalami peningkatan progresif dari 10 ke 14 kali seminggu bermula Julai 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng, mengulas, “Kami amat teruja untuk memperluaskan rangkaian Scoot dengan destinasi-destinasi baharu ini. Pada masa yang sama, peningkatan kekerapan penerbangan ke bandar-bandar terpilih pada bulan akan datang menjelang musim percutian akhir tahun akan menyokong permintaan yang lebih tinggi.
“Kami akan terus mencari peluang baharu untuk pertumbuhan dan memperluaskan jejak kami di rantau ini, menghubungkan pelanggan kami ke lebih banyak destinasi, pengembaraan baharu dan pengalaman yang unik.”
Sebagai tambahan kepada pelancaran jualan ke destinasi baharu, Scoot juga akan menawarkan promosi tambang masa terhad ke destinasi terpilih di laman web Scoot dan aplikasi mudah alih bermula 8 hingga 13 Julai 2025. Ikuti kami di media sosial dan langgan surat berita Scoot untuk menerima promosi terkini. – UTUSAN