Piala CAFA 2025 medan uji Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 menjadi medan terbaik buat skuad Harimau Malaya menguji kemampuan apabila diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan pilihan seperti Iran, Tajikistan dan Afghanistan.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, berkata, undian yang berlangsung kelmarin membuka lembaran baharu buat skuad negara yang sudah lama menunggu untuk mengetahui lawan masing-masing dalam kejohanan berprestij Asia Tengah itu.

“Kami sudah lama bersedia dengan pelan A dan pelan B, hanya menanti undian untuk menentukan hala tuju kami. Kini, selepas undian malam tadi (kelmarin), kami bersedia untuk merangka perancangan sepenuhnya.

“Kami berada di Tajikistan dalam Kumpulan B yang cukup mencabar. Tetapi itu yang kami mahu, menguji bola sepak kami menentang pasukan berkualiti dan dihormati,” katanya.

Malaysia bakal membuka tirai saingan Piala CAFA 2025 bertemu tuan rumah, Tajikistan pada 29 Ogos depan, satu perlawanan yang dijangka berlangsung dalam suasana penuh tekanan dengan sokongan padu penyokong tuan rumah.

“Tajikistan sudah tentu akan menjadi lawan sukar, ditambah pula dengan suasana yang pastinya ‘panas’. Tetapi inilah ujian yang kami perlukan, bermain di tempat lawan dengan suasana yang mencabar,” jelasnya.

Skuad negara hanya mempunyai masa rehat dua hari sebelum aksi kedua menentang Iran pada 1 September, pasukan yang kini berada di ranking ke-18 dunia dan layak ke Piala Dunia.

“Ini adalah cabaran besar dan juga peluang besar buat kami untuk mengukur tahap sebenar pasukan dengan menentang gergasi Asia seperti Iran. Kami akan turun dengan semangat juang tinggi dan memberi tentangan sebaik mungkin,” katanya.

Aksi terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Malaysia menentang Afghanistan pada 4 September dan Cklamovski menegaskan pasukannya akan turun dengan keyakinan tinggi untuk mencipta sesuatu yang istimewa.

“Matlamat kami jelas, bukan sekadar bersaing tetapi mahu membentuk pasukan yang bermain dengan corak bola sepak yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia.
“Saya berharap seluruh peminat dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan ini sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.-UTUSAN