Jangan buka pintu penuh buat atlet warisan

Sukan

PETALING JAYA: Cadangan untuk membuka ruang lebih luas kepada pemain dan atlet warisan dalam sukan negara tidak wajar dijadikan sebagai satu dasar tetap.

Sebaliknya, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berharap kebergantungan kepada atlet warisan diteliti secara berhemah mengikut keperluan.

Katanya, biarpun atlet warisan mampu memberikan keputusan segera, namun ia tidak seharusnya dilihat sebagai jalan pintas yang akhirnya ‘membunuh’ bakat tempatan.

“Kita tidak boleh jadikan sukan kita seperti makanan segera atau ‘fast food’, mudah dibeli, cepat siap, tapi akhirnya tidak sihat untuk pembangunan jangka panjang.

“Memang badan induk antarabangsa tidak melarang pengambilan atlet warisan, tetapi itu tidak bermaksud kita perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada semua persatuan sukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekiranya langkah itu tidak dikawal, ia bakal merubah hala tuju pembangunan sukan negara secara drastik.

“Sekarang ni macam dah menyerah kalah. Macam kita dah tak tahu nak buat apa lagi nak majukan sukan. Ambil jalan mudah, buka semua sukan kepada pemain warisan.

“Tetapi saya lebih suka kalau perkara ini ditangani secara ‘case by case’, bukan jadikan dasar tetap.

“Kalau betul-betul ada keperluan dan pemain itu memang ‘outstanding’, yang betul-betul boleh jamin kejayaan, itu lain cerita,” tegasnya.

Tambah beliau, negara-negara luar seperti di Eropah juga tidak menjadikan pemain warisan sebagai strategi utama pembangunan sukan mereka.

“Mereka tidak jadikan pengambilan pemain warisan ini sebagai dasar pukal. Semua dibuat secara terperinci, tengok keperluan, tengok keadaan.Bukan macam kita sekarang, terus nak buka semua pintu,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau kepada persatuan sukan negara untuk mengambil pemain warisan seperti dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).-UTUSAN