Sze Fei–Izzuddin perlu bijak serap tekanan

Sukan

PETALING JAYA: Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani perlu bijak menyerap tekanan bagi mengelak status pasangan No.1 dunia menjadi ‘beban’.

Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Cheah Soon Kit berkata, Sze Fei-Nur Izzuddin kini memikul tanggungjawab besar selaku beregu lelaki No.1 dunia sejak penghujung Mei lalu.

“Kalau mereka boleh urus tekanan dan kekal fokus dalam permainan, saya yakin pasangan ini mampu bangkit dan kembali beri saingan hebat dalam kejohanan yang disertai.

“Mungkin bila mereka tiba-tiba jadi No. 1 dunia, tekanan datang terlalu banyak daripada pihak luar, penyokong dengan harapan yang tinggi. Semua itu jejaskan prestasi kalau tidak dikawal.

“Jadi saya harap tempoh rehat dan ruang sebelum ini membantu mereka stabil semula dari segi emosi dan mental untuk kembali bersaing dengan rentak sebenar,” kata Soon Kit.

Sze Fei-Nur Izzuddin hanya memenangi satu gelaran musim ini iaitu Terbuka India pada Januari, sebelum berdepan masalah konsistensi apabila sekadar mara ke suku akhir di beberapa kejohanan utama.

Soon Kit yang pernah membimbing pasangan itu pada zaman remaja berkata, kemampuan untuk kembali ke puncak bergantung kepada disiplin, keserasian dan keupayaan menangani tekanan.

Katanya, Sze Fei–Nur Izzuddin hanya mara ke suku akhir Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia pada Jun lalu, perlu memperkemaskan aspek taktikal serta kekuatan mental menjelang Kejohanan Dunia tidak lama lagi.

“Bila anda sudah jadi sasaran utama, semua lawan akan kaji permainan anda. Jadi kerja keras dan semangat berpasukan akan jadi faktor penentu untuk terus kekal di atas,” katanya.

Kejohanan Dunia bakal membuka tirai saingannya di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos ini.-UTUSAN