Petronas, Sabah meterai perjanjian baharu sempena SOGCE

Perniagaan

PETALING JAYA: Petronas, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sabah melalui pemeteraian beberapa perjanjian penting sempena Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) 2025. 

Pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan landskap tenaga Sabah melalui pembangunan yang kolaboratif, mampan dan berasaskan nilai.

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, pencapaian ini menegaskan semula kerjasama erat pihaknya dengan kerajaan negeri Sabah dibina atas asas kepercayaan dan visi bersama untuk membuka potensi sumber tenaga negeri ini secara bertanggungjawab. 

“Bersama-sama, kita akan terus mempercepat pembangunan mampan, mengukuhkan keselamatan tenaga dan mencipta nilai jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada Sabah dan negara,” katanya dalam kenyataan. 

Majlis ini turut menjadi titik tolak penting dalam pembangunan tenaga Sabah dengan penyerahan rasmi dokumen Strategi Gas Sabah, satu inisiatif bersama antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah. 

Di bawah nasihat Jawatankuasa Penyelaras Bersama Sabah (JCC), strategi ini dibangunkan oleh Pasukan Petugas Bersama (JTF) yang terdiri daripada Petronas, SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJE), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE).

Berpaksikan kepada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara Petronas dan kerajaan negeri Sabah pada 2021, strategi ini merangka pelan jangka panjang dan berstruktur bagi menjamin bekalan gas yang mampan dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat, di samping memacu pertumbuhan industri yang lestari.

Antara pencapaian utama lain ialah pemeteraian Perjanjian Penilaian Teknikal (TEA) bagi Lembangan Layang-Layang di luar pesisir pantai Sabah, satu kawasan sempadan yang meliputi kira-kira 44,500 kilometer persegi. 

Perjanjian ini ditandatangani bersama ConocoPhillips Malaysia New Ventures Ltd (Cop) dan Pertamina Hulu Energi (Pertamina), yang akan membuka laluan kepada kajian bawah permukaan yang menyeluruh, termasuk penilaian geologi serantau serta analisis prospektiviti terperinci. 

Katanya, ini mencerminkan komitmen berterusan Petronas dalam mengaktifkan lembangan baharu dan mempergiat usaha penerokaan di kawasan berpotensi tinggi ini.

Bagi memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang penerokaan dan pengeluaran, Petronas turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DIALOG Resources Sdn. Bhd. (DIALOG) bagi memajukan pembangunan Kluster Mutiara yang terletak di luar pesisir pantai Timur Sabah.

Ditawarkan di bawah Malaysia Bid Round 2025, Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Lapangan Kecil Kluster Mutiara dianugerahkan kepada DIALOG pada bulan Jun tahun ini. 

Kluster ini menawarkan peluang untuk memanfaatkan sumber yang telah ditemui melalui pelan pembangunan yang kos efektif dan dioptimumkan, termasuk penggunaan semula bahan dan peralatan sedia ada serta pengetahuan terdahulu bagi mempercepat penghantaran gas pertama.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pemahaman terhadap lembangan bagi membuka peluang pertumbuhan pengeluaran negara pada masa depan, Petronas turut melabur dalam program pemerolehan data seismik, termasuk di kawasan Pantai Timur Sabah untuk memperdalam pemahaman geologi dan mempercepat aktiviti penerokaan.

Petronas kekal teguh dalam komitmennya untuk memastikan bekalan tenaga yang mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia.

MPM terus memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum negara serta memberikan kepimpinan strategik terhadap aktiviti huluan petroleum di Malaysia.-UTUSAN