KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mahu anak buahnya mengekalkan momentum dan beraksi secara konsisten dalam setiap kejohanan disertai.
Jurulatih kelahiran Indonesia juga mahu barisan pemainnya menjulang gelaran dunia berulang kali dalam karier masing-masing dan tidak cepat berpuas hati dengan sekali sahaja memegang gelaran berkenaan.
“Jangan hilangkan momentum yang sekarang kita sudah dapat. Saya mahu mereka sentiasa dahagakan kemenangan dan tidak pernah rasa puas.
“Selepas ini, kita bakal hadapi Terbuka Jepun dengan China dan yang paling besar Kejohanan Dunia, tidak kira Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau mungkin Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran, kita harap mereka mampu menang gelaran.
“Kita harapkan jangan hanya satu kali. Kita mahu juga kalau bisa terus-terusan, itu akan menjadi motivasi kepada pemain-pemain muda bahawa untuk menjadi juara dunia ia bukan satu angan-angan,” katanya selepas sesi latihan, semalam.
Kata Rexy, selepas bergelar juara, para pemain akan berdepan satu lagi cabaran besar iaitu mengekalkan gelaran yang dimenangi kerana tugas tersebut jauh lebih sukar.
Rexy berkata, seperti beregu lelaki beliau juga mahu melihat gandingan wanita serta campuran turut mempunyai lebih daripada satu pasangan yang beraksi baik.
“Kita tengok beregu campuran, bukan hanya satu pasangan yang mampu raih juara, kita ada dua gandingan dan begitu juga untuk beregu wanita, selain Pearly-Thinaah, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing juga pamer prestasi baik pada Terbuka Indonesia,” katanya.
Mengenai Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Rexy berkata, seharusnya selepas berganding semula, sudah tiba masa beregu No. 4 dunia itu membuktikan sesuatu dengan sekurang-kurangnya memenangi gelaran pada tahun ini.
Mengulas prestasi dua beregu lelaki, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazeri dan Arif Junaidi-Yap Roy King, beliau berkata, kedua-dua gandingan itu masih ketinggalan.
“Macam Arif-Roy King ini, mereka masih belum dapat memahami falsafah badminton jurulatih, Herry IP (Iman Pierngadi), ada perkara-perkara yang lebih terperinci perlu mereka pelajari dan fahami,” katanya,
Bagi Hon Jian-Haikal pula, kata Rexy, masalah lebih menjurus kepada Haikal yang berehat panjang akibat kecederaan serta penting untuk pemain itu buang jauh-jauh sikap ‘sopannya’ dan kembalikan perangai ‘degil’ bagi mengukuhkan jati dirinya yang hilang.-UTUSAN