SEREMBAN: Penyatuan dalam UMNO hanya boleh dicapai jika semua peringkat kepemimpinan dan ahli Sanggup merendahkan ego dan kembali kepada asas perjuangan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat dan sejarah disiplin dalam kalangan ahli, semangat kekeluargaan perlu diutamakan demi masa depan parti.
“UMNO ini sebuah keluarga. Walaupun ada yang pernah dikenakan tindakan, jasa mereka kepada parti tidak boleh diketepikan.
“Yang penting sekarang adalah penyatuan, dan penyatuan tidak boleh berlaku secara sebelah pihak. Kalau sayangkan UMNO, rendahkan ego dan bersatulah di bawah parti ini,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat, di sini semalam.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO kekal dengan prinsip terbuka untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti tersebut namun menegaskan proses itu mesti melalui saluran dan prosedur yang betul.
Sementara itu, mengulas mengenai mengenai sokongan golongan muda terhadap UMNO, Muhammad Akmal berkata. terdapat perkembangan positif dalam trend sokongan, terutama dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun.
Katanya, kejayaan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN), Mahkota dan Nenggiri, menjadi bukti bahawa suara dan peranan Pemuda UMNO diterima golongan belia.
“Di Seremban sahaja, peningkatan sokongan tersebut semakin ketara dan ini membuktikan kita berada di landasan yang betul. Selagi kita membawa suara rakyat, kita tidak perlu takut,” katanya.
Beliau juga menegaskan perjuangan UMNO mesti terus berpaksikan kepada agama, bangsa dan negara tanpa sebarang kompromi terhadap prinsip asas perjuangan tersebut. – UTUSAN