LARUT: Pembangkang mahu membawa isu mengenai projek pembangunan Kota Madani dalam persidangan Dewan Rakyat yang bermula 21 Julai ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu penting supaya projek tersebut tidak membebankan generasi akan datang.
“Kita akan bawa perkara ini dalam sidang Parlimen nanti. Kerana kita tidak mahu apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini, beban itu akan ditanggung oleh masa depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu merasmikan projek tersebut di Presint 19, Putrajaya sebagai satu inisiatif mega berkonsepkan bandar bijak yang mesra rakyat dan alam sekitar.
Kerajaan bertegas untuk meneruskan projek tersebut kerana ia turut membantu menyelesaikan masalah perumahan ribuan penjawat awam.
Bagaimanapun Hamzah berkata, sebelum ini apa-apa projek seperti pembinaan seperti kuaters, bebanan tidak dipertanggungjawabkan kepada masa hadapan.
“Kita bukan hanya buat satu projek mega dan akhirnya kita tak mampu untuk membayar. Hutang kita hari ini sudah mencecah lebih RM1 trilion.
“Kalau sudah begitu caranya, apakah kita mampu untuk membangunkan satu bandar (Kota Madani). Jadi sebab itu bercakap untuk kepentingan beberapa golongan adalah sesuatu yang tidak adil kepada masa depan negara,” katanya.
Sementara itu Hamzah percaya desakan pihak tertentu supaya beliau mengemukakan usul tergempar kepada Dewan Rakyat berkenaan isu pelantikan hakim adalah kerana perkara tersebut telah mengundang pelbagai kritikan.
“Kehakiman mestilah memberikan keadilan. Bukan hanya nampak, tetapi benar-benar adil. Dan kalau adil, dari segi pelantikan juga mesti merupakan sesuatu yang dilakukan begitu telus.
“Saya tidak mahu nanti ada persepsi mengatakan sesiapa sahaja yang dilantik menggantikan Ketua Hakim hari ini adalah bagi kepentingan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN