Nama besar, sesiapa saja ikut proses sebetulnya jika ingin kembali bersama UMNO

Politik

ARAU: UMNO sedia menerima sesiapa sahaja bekas ahli termasuk nama-nama besar yang berhasrat untuk kembali semula bersama parti itu namun perlu mengikut proses Perlembagaan yang telah ditetapkan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, surat rayuan perlu dikemukakan sendiri oleh individu atau bekas ahli terlibat bagi membolehkan tindakan seterusnya diambil mengikut Perlembagaan.

Katanya, UMNO sedia terima sesiapa sahaja sama ada nama-nama besar atau mereka yang dikenali di peringkat bahagian mahupun cawangan kembali bersama parti itu.

“Yang pentingnya seperti mana kenyataan saya sebelum ini, semuanya kena melalui proses Perlembagaan parti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Arau merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, penyatuan dalam UMNO hanya boleh dicapai jika semua peringkat kepemimpinan dan ahli sanggup merendahkan ego dan kembali kepada asas perjuangan parti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat dan sejarah disiplin dalam kalangan ahli, semangat kekeluargaan perlu diutamakan demi masa depan parti.

“UMNO ini sebuah keluarga. Walaupun ada yang pernah dikenakan tindakan, jasa mereka kepada parti tidak boleh diketepikan. Yang penting sekarang adalah penyatuan dan penyatuan tidak boleh berlaku secara sebelah pihak. Kalau sayangkan UMNO, rendahkan ego dan bersatulah di bawah parti ini,” kata Muhamad Akmal pada persidangan perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat, semalam.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga memaklumkan bahawa UMNO kekal dengan prinsip terbuka untuk menerima semula individu yang pernah digantung atau dipecat daripada parti tersebut namun menegaskan proses itu mesti melalui saluran dan prosedur yang betul.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, rayuan-rayuan yang dikemukakan akan disemak dan dipertimbangkan terlebih dahulu oleh pengurusan serta Majlis Tertinggi UMNO.

“Sudah tentu semua surat rayuan dikemukakan ini akan diambil kira dan dipertimbangkan untuk tindakan selanjutnya selepas ini,” katanya. – UTUSAN