Wajah baharu UMNO Perlis, peluang rampas Perlis cerah

Politik

ARAU: Peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) merampas Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jauh lebih cerah berbanding negeri-negeri lain yang tidak dikuasai parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hal demikian kerana, rakyat di negeri ini amat merindui khidmat dan bakti yang diberikan oleh UMNO selama ini.

Katanya, dalam pilihan raya lalu, rakyat mungkin hendak mencuba kerajaan negeri yang baharu namun akhirnya beliau percaya sokongan itu akan kembali kepada UMNO berikutan khidmat berterusan parti itu kepada rakyat.

“Saya yakin dan lihat peluang di Perlis jauh lebih cerah berbanding negeri-negeri lain yang tidak dikuasai kita. Ia kerana tradisi UMNO di Perlis iaitu khidmat dan bakti yang berjalan berterusan di negeri ini.

“Malah, saya juga yakin dengan kepemimpinan baharu dan wajah-wajah baharu yang lebih segar ditampilkan UMNO di semua bahagian iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar bakal memberi kelebihan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Arau merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO dan BN mempunyai peluang merampas semula negeri ini sekali gus memberi cabaran kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRU-16 mengikut perancangan dan strategi yang diatur. 

Rozabil dilaporkan berkata, parti itu tidak akan kembali hilang arah seperti mana sebelum ini susulan daripada ketiadaan kepimpinan di negeri ini semasa menghadapi pilihan raya umum lalu.

Kata Rozabil, kepimpinan baharu parti itu di ketiga-tiga bahagian juga dilihat bergerak cukup agresif dan diyakini dapat mengembalikan semula sokongan rakyat kepada UMNO.  

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, selepas PRU-14, rakyat sudah berpeluang merasai pemerintahan semua parti yang pernah menjadi kerajaan termasuk PN.

Katanya, kebanyakkan kawasan yang beliau kunjungi, semua menyatakan bahawa kerajaan di zaman BN adalah yang terbaik. – UTUSAN