SSTMI, SSMP dan MCKK buru kejuaraan MCKK Premier 7’s

Sukan

PETALING JAYA: Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s 2025 terus hangat apabila tiga pasukan gergasi iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan tuan rumah, Malay College Kuala Kangsar (MCKK) tampil dengan rekod cemerlang menuju aksi penentuan esok.

SSTMI membuktikan status juara bertahan bukan sekadar nama apabila menamatkan saingan Kumpulan A dengan tiga kemenangan meyakinkan, termasuk menewaskan MRSM Balik Pulau 36-7 dan membelasah SMK Hosba 31-0 tanpa belas.

Sementara SSMP pula, mencuri perhatian sebagai satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi langsung dalam tiga perlawanan Kumpulan B, termasuk kemenangan besar 48-0 ke atas STAR Ipoh dan 34-0 ke atas EC.

Tuan rumah, MCKK juga nyata enggan dimalukan di laman sendiri apabila ‘mengganas’ dalam Kumpulan C dengan kutipan 139 mata dan hanya melepaskan lima mata sepanjang kempen kumpulan antara statistik menarik setakat ini.

Dalam Kumpulan D, SMK Jalan Tiga (ARAS) tampil sebagai pencabar luar jangka apabila mengejutkan KE VII dan menamatkan kumpulan dengan tiga kemenangan penuh, manakala KE VII terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

SMK Tun Hussein Onn (THOR) pula menjadi ‘raja mata’ kejohanan setakat ini selepas meledak 132 mata dalam Kumpulan E termasuk membenam pasukan jemputan Thailand, Vajiravudh College 27-0.

Wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA) pula tidak kurang hebat apabila mendominasi Kumpulan F dengan permainan kemas dan disiplin tinggi, menundukkan SEMASHUR dan AKRAM dengan gaya tersendiri.

SMK Victoria (VI) turut mencuri tumpuan dalam kumpulan sama apabila muncul pencabar utama dengan dua kemenangan penting yang membuka peluang ke pusingan seterusnya.

Saingan hari terakhir esok dijangka lebih sengit apabila semua pasukan mula mengatur strategi untuk memburu tempat ke final Piala NJ Ryan trofi idaman setiap sekolah elit.

Dengan SSTMI, SSMP, MCKK dan THOR dilihat paling konsisten, pentas akhir Cup/Plate bakal menjadi pertarungan penuh maruah, kata jurulatih ragbi MCKK, “Di sinilah bakat sebenar digilap sebelum melangkah ke pentas kebangsaan.”-UTUSAN