LONDON: Bekas pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic mengakui dirinya berasa diberkati selepas mencatat kemenangan ke-100 di Wimbledon dengan kemenangan bergaya dalam pusingan ketiga ke atas rakan senegaranya Miomir Kecmanovic.
Pemain dari Serbia itu tidak membuang masa untuk mencatat pencapaian bersejarah itu di All England Club dengan meraih kemenangan 6-3, 6-0, 6-4 dalam tempoh satu jam 50 minit.
Sebelum kejohanan bermula, Djokovic berkata, Wimbledon adalah peluang terbaiknya untuk memecahkan rekod 24 gelaran Grand Slam yang dipegang oleh bekas pemain Australia, Margaret Court.
“Ia sangat bersejarah. Kedengaran sangat indah. Saya sangat bersyukur berada dalam kedudukan ini.
“Wimbledon ialah kejohanan kegemaran dan impian ramai pemain. Apa-apa sejarah yang saya cipta di kejohanan kegemaran saya, saya anggap satu keberkatan,” katanya.
Itu merupakan kali ke-17 Djokovic mara ke pusingan keempat dalam 20 penampilannya di Wimbledon dan dia dijadual menentang pilihan ke-11 dari Australia, Alex De Minaur yang menewaskan pemain Denmark, August Holmgren.
Sementara itu, Jack Sinner yang berkemungkinan bertemu Djokovic di separuh akhir mengambil masa satu jam 55 minit untuk menewaskan pemain ranking ke-52, Pedro Martinez dengan kemenangan 6-1, 6-3, 6-1 dalam satu persembahan cemerlang di Centre Court.
Sinner, 23, akan menentang pilihan ke-19, Grigor Dimitrov di pusingan 16 hari ini selepas pemain dari Bulgaria itu melakar kemenangan straight set ke atas wakil Austria, Sebastian Ofner.
“Mengenai jumlah permainan yang saya kalah, itu bukan perkara penting. Saya tidak melihat kepada rekod seperti ini. Saya tahu segalanya boleh berubah dengan sangat cepat dari satu pusingan ke pusingan yang lain,” kata Sinner, yang masih belum pernah mara ke final Wimbledon. – AGENSI