Rampas tiga negeri: Berhenti beretorik

Politik

KUALA SELANGOR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan digesa berhenti beretorik dalam pandangan beliau yang mendakwa tiga daripada empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) goyah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu (Bersatu), Datuk Harrison Hassan berkata, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian perlu turun ke bawah dan melihat sendiri realiti sokongan akar umbi di negeri-negeri tersebut.

“Saya tak faham dengan pemimpin politik (UMNO). Itulah perbezaan PN dan part kerajaan. Apabila kita menjawab ataupun membuat kenyataan, kena kurangkan retorik. Kenyataan yang dibuat oleh beliau pada saya penuh retorik. Hari ini kita sudah muak dengan retorik sedemikian.

“Cuba beliau turun ke bawah, jadi kita tahu apa sebenar yang rakyat mahukan. Soal negeri itu boleh menang, kekal atau tidak, kena tanyalah (rakyat) di bawah itu. Kita jangan lagi cakap atas kertas parti banyak kerusi boleh menang, itu bukan saya atau parti saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tanjong Karang, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya sebelum ini dilapor menyifatkan kedudukan PN di Perlis, Kedah serta Terengganu tidak stabil dan secara tidak langsung memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) merampas kembali pada pilihan raya akan datang.

Beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi semalam mendakwa separuh daripada pengundi di tiga negeri berkenaan masih menyokong UMNO.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dilapor bertekad merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.

Menurutnya, UMNO akan meletakkan calon-calon terbaik pada PRU-16 bagi memastikan BN memenangi kerusi Parlimen yang dimenangi parti pembangkang terbabit pada PRU lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh turut menempelak dakwaan Ahmad dengan menyifatkan ucapannya pada perasmian mesyuarat tersebut sekadar kata-kata penyedap hati kepada ahli-ahli UMNO.

“Bercakap sesiapa pun boleh bercakap, siapa tak kenal Ahmad Maslan. Sesiapa pun boleh mendakwa. Tetapi, kita boleh nampak hakikatnya memang PN sokongan semakin lama semakin kuat. Kita bukan dakwa-dakwi, tetapi boleh tengok keputusan pilihan raya lepas, terbukti selain peningkatan keahlian dan cawangan semakin banyak.

“Kalau UMNO hendak kata macam itu, yalah kadang-kadang itu ayat untuk menyedapkan hati. Sedangkan mereka pun tahu dekat mana (UMNO) sekarang. Contoh di Selangor, UMNO cuma tinggal dua kerusi, salah satunya pun kerusi DAP dulu,” ujarnya. – UTUSAN