PRU-16: UMNO tidak bergerak solo, kekal kerjasama dengan PH

Politik

LUMUT: UMNO tidak akan bergerak solo sebaliknya terus memperkukuh kerjasama dengan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun akan bertanding menggunakan logo dacing, ia tidak bermakna UMNO memutuskan kerjasama dengan parti komponen lain dan PH.

Katanya, pendekatan politik kerjasama perlu diteruskan demi memastikan kemenangan yang lebih besar dan kestabilan politik pasca PRU-16.

“Selama ini (PRU-15), kita bertanding secara solo dan keputusannya di Perak, kita hanya menang di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala sebanyak 30 kerusi Parlimen.

“Ketika itu, kita melihat perkiraan bahawa kita sangat perlu bertanding secara solo dan kita kalah. Jadi, apa salahnya jika dalam pilihan raya umum akan datang, kita terus menyantuni rakan-rakan di dalam BN dan PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir.

Menurut beliau, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dan Ayer Kuning sepatutnya dijadikan contoh kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk memupuk kerjasama yang lebih erat.

Katanya, pada PRK DUN Mahkota, BN melakar kemenangan besar dengan majoriti lebih 20,000 undi berbanding yang pernah dicatat parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lalu.

“Kita juga perlu lihat bagaimana pada PRK DUN Ayer Kuning, PDM (Pusat Daerah Mengundi) Kampung Coldstream, kita kalah (pada banyak PRU) namun pada PRK lalu kita menang.

“Cuba kita renungkan situasi ini. Di Mahkota dan Ayer Kuning kita bertanding solo tapi kita mendakap sokongan daripada parti lain. Begitu juga kita beri sokongan bila mereka bertanding.

“Ini bukan soal keikhlasan, ini bukan soal kejujuran tetapi soal bagaimana strategi politik yang disusun oleh kepimpinan UMNO dan BN. Insya-Allah, ia akan membuahkan hasil yang cemerlang jika kita jujur dengan rakan-rakan,” katanya.- UTUSAN