PETALING JAYA: Perenang legenda negara, Nurul Huda Abdullah dipilih menggalas tugas ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA Thailand 2025 yang bakal berlangsung pada Disember depan.
Nurul Huda akan dibantu oleh tiga timbalan yang terdiri daripada pentadbir sukan dan bekas atlet negara pada temasya yang berlangsung di tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.
Tiga timbalan CDM itu ialah Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, legenda pecut negara, Nazmizan Muhammad dan bekas pemain hoki negara, Jivan Mohan.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemilihan mereka dibuat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).
“Ia bagi memastikan pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman untuk mengetuai kontinjen Malaysia menuju kejayaan pada temasya dwitahunan itu.
“MOM yakin kepimpinan mereka yang dihormati dan kaya dengan pengalaman sebagai atlet serta pentadbir sukan akan memberi inspirasi serta motivasi kepada kontinjen Malaysia untuk meraih kejayaan cemerlang.
“Memacu semangat kesukanan dan membawa kebanggaan kepada Malaysia di Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 yang akan datang,” kata MOM dalam satu kenyataan.
Temasya Sukan SEA yang memasuki edisi ke-33 itu akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember depan dengan difahamkan 585 acara bakal dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.
Nurul Huda pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Seoul edisi 1988 dan beliau memegang rekod jumlah pingat terbanyak yang dimenangi oleh seorang atlet Malaysia pada Sukan SEA.
Sepanjang bergelar atlet, Nurul Huda melakar pencapaian luar biasa apabila meraih 32 pingat iaitu 22 emas, lapan perak dan dua gangsa pada tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.
Kenny pula memberi sumbangan besar dalam arena sukan antarabangsa apabila berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Badminton Asia (BA) sejak 2023 dan sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk penggal 2021-2025.
Nazmizan pula melakar sejarah olahraga negara apabila memenangi pingat emas dalam acara 100 meter (m) dan 200m pada Sukan SEA Vietnam 2003, selain beraksi dalam acara 200m di Sukan Olimpik Athens 2004.
Sementara itu, Jivan pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan hoki antarabangsa yang berprestij termasuk Piala Sultan Azlan Shah, Piala Asia dan Piala Dunia Remaja.- UTUSAN