MBSB, MDEC perkasa usahawan untuk manfaat TikTok

Perniagaan

PETALING JAYA: MBSB Berhad bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menganjurkan program ‘Jom Jual di TikTok: eUsahawan x MBSB 2025’, sebuah inisiatif latihan intensif sehari yang menyasarkan untuk melatih 200 usahawan dalam memanfaatkan TikTok sebagai saluran e-dagang yang mampan.

Program yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur ini merupakan sebahagian daripada komitmen MBSB terhadap pembangunan ekonomi yang inklusif di bawah rangka kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, khususnya di bawah teras Pembangunan Ekonomi.

Teras tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan celik kewangan, latihan keusahawanan dan pemerkasaan digital untuk komuniti yang kurang mendapat akses.

Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, Jom Jual di TikTok bukan sekadar sesi latihan, ia adalah satu bentuk pengaktifan dengan menawarkan akses kepada teknologi bagi menyerlah bakat.

“Program ini mencerminkan peranan MBSB bukan sahaja sebagai institusi kewangan, tetapi juga sebagai pemacu pembangunan kapasiti bagi membantu komuniti menyertai ekonomi digital secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, kerjasama ini selari dengan aspirasi Malaysia Digital untuk memperkukuh daya tahan usahawan dengan menyediakan alatan yang praktikal, berskala dan mampu menjana hasil nyata dalam dunia perniagaan.

Sepanjang program, para peserta menerima bimbingan langsung daripada empat jurulatih bertauliah eUsahawan, meliputi aspek penciptaan kandungan TikTok, strategi jualan afiliasi, periklanan digital dan penglibatan audiens. 

Tambah MBSB, semua modul dirangka khas untuk membantu perniagaan mikro dan kecil meningkatkan keterlihatan serta melonjakkan jualan secara dalam talian.

“Peserta program ini turut layak menyertai Cabaran Video TikTok, yang menawarkan peluang memenangi modal permulaan berjumlah antara RM2,000 hingga RM5,000 yang ditaja oleh MBSB. 

“Peserta juga akan diselia dalam tempoh pemantauan selama dua bulan oleh pihak MDEC, yang bertujuan menilai prestasi jualan dan impak program selepas peserta mengaplikasikan modul eUsahawan dalam perniagaan mereka di platform TikTok,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, inisiatif eUsahawan MDEC telah berjaya melatih lebih 629,000 individu, dengan jualan terkumpul melebihi RM1.2 bilion. 

Edisi terbaharu ini meneruskan legasi tersebut dengan fokus khusus terhadap pengurangan jurang digital, terutamanya dalam kalangan usahawan mikro dan informal. – UTUSAN