MITI teruskan rundingan penyelesaian dengan AS

Perniagaan

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan perbincangan dengan rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS) dengan hasrat untuk menangani isu tertunggak, menjelaskan skop dan kesan tarif yang diumumkan serta mencari jalan untuk menyelesaikan rundingan pada masa yang sesuai.

Kementerian berkata, usaha ini masih diteruskan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.

“Malaysia menghargai hubungan ekonomi dan perdagangannya yang telah lama terjalin dengan AS dan mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong pekerjaan dan pertumbuhan di kedua-dua negara kita.

“Oleh itu, Malaysia komited untuk meneruskan penglibatan dengan AS ke arah perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan dan komprehensif.

“Walaupun kami mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS mengenai ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran, kami percaya bahawa penglibatan dan dialog yang membina kekal sebagai laluan terbaik ke hadapan,” katanya dalam kenyataan.

MITI berkata demikian susulan pengumuman Kerajaan AS berhubung pengenaan kadar tarif timbal balik sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia ke AS berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Kementerian berkata, AS adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar dengan jumlah perdagangan pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).

Tambahnya, eksport ke AS mencecah RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion), manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).

“Malaysia melihat langkah unilateral sebagai berpotensi mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan dan aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Malaysia percaya bahawa bersama-sama, kita dapat mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama yang melindungi kepentingan kedua-dua negara dan rakyat kita, sambil memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala kekal sebagai kuasa positif untuk pembangunan ekonomi yang mampan,” ujarnya.

MITI berkata, Kerajaan Malaysia kekal komited untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna Malaysia dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengurangkan kesan daripada langkah baharu ini. 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan dan kerjasama berterusan mereka,” jelasnya.

Presiden AS, Donald Trump semasa mengumumkan tarif kemas kini itu berkata, langkah yang diambil adalah untuk ‘melindungi industri tempatan AS’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.

“Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap kita. Mulai 1 Ogos, semua import dari Malaysia akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus,” katanya dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group. – UTUSAN