Chelsea tak gentar cuaca panas

Sukan

EAST RUTHERFORD: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca menegaskan pasukannya akan menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap ketika berdepan Fluminense pada separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi ini.

Perlawanan dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang waktu tempatan di Stadium MetLife, New Jersey, ketika suhu panas dijangka menjejaskan intensiti permainan.

“Kami sudah biasa beraksi dalam pelbagai keadaan, jadi apa yang boleh kami buat esok ialah menyesuaikan diri dan cuba menang.

“Seperti perlawanan lain, kami tahu lawan dari Brazil sangat bertenaga dan pasti ia satu cabaran sukar buat kami,” kata Maresca.

Chelsea kehilangan Liam Delap dan Levi Colwill akibat penggantungan, namun Moises Caicedo kembali mengemudi jentera tengah selepas selesai menjalani hukuman.

Fluminense pula tampil sebagai wakil tunggal Amerika Selatan yang tinggal, diketuai bekas pertahanan Chelsea berusia 40 tahun, Thiago Silva.

Jurulatih Fluminense, Renato Portaluppi berkata pasukannya yang digelar ‘itik hodoh’ tidak gentar dengan status atau bajet besar lawan.

Beliau menegaskan bahawa mereka hadir untuk mencipta sejarah dan percaya bola sepak ditentukan di padang, bukan di atas kertas.

“Adalah satu keistimewaan untuk melatih pasukan ini, dan kami berada di sini untuk mencipta sejarah.

“Kami perlu percaya. Kami menentang lawan yang kuat dengan kelebihan kewangan tetapi bola sepak ditentukan di atas padang jadi kami perlu mengingati perkara itu,” kata Portaluppi.

Chelsea sebelum ini menewaskan Palmeiras di suku akhir selepas tewas kepada Flamengo dalam saingan kumpulan. – AGENSI