PETALING JAYA: UOB Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) dan Persekutuan Pengilangan Singapura (SMF) bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta memudahkan aliran pelaburan asing (FDI) antara Malaysia dan Singapura.
Kerjasama antara tiga pihak tersebut dimeterai Khamis lalu di Persidangan ASEAN yang dijalankan di Singapura.
Perjanjian itu bertujuan untuk mengukuhkan koridor pembuatan Malaysia-Singapura dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakaran sektor UOB dalam membantu perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengembangkan operasi rentas sempadan dan memasuki pasaran baharu.
Langkah ini juga selari dengan tema keterangkuman Sidang Kemuncak ASEAN 2025, untuk memastikan perniagaan pelbagai saiz dapat meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serantau.
Pada masa yang sama, MoU tersebut merupakan susulan kepada perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara kedua-dua kerajaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong berkata, kedua-dua Johor dan Singapura dapat memanfaatkan hubungan yang saling melengkapi ini dengan berganding bahu untuk memacu inovasi dan meningkatkan produktiviti serantau.
“MoU antara FMM, SMF dan UOB ini hadir tepat pada masanya dan berupaya menyelaraskan kelebihan Malaysia dan Singapura ke arah pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih besar dalam suasana perdagangan global kini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, bank tersebut merupakan antara penyokong terawal JS-SEZ dan telah melancarkan pelbagai usaha termasuk penubuhan Meja SEZ khusus, perkhidmatan pembukaan akaun pantas serta kerjasama dengan Invest Johor melalui ‘Green Lane’.
“Sejak 2024, kami telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM11.5 bilion kepada perniagaan di Johor dan memudah cara aliran FDI bernilai RM10 bilion ke zon ini. Melalui kerjasama dengan FMM dan SMF, kami komited membantu ahli mereka merebut peluang rentas sempadan serta menyumbang kepada pertumbuhan industri ASEAN,” katanya.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai menyifatkan kerjasama itu sebagai titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan perniagaan di bawah JS-SEZ dan berjanji akan terus membantu ahli mereka, khususnya PKS, untuk merebut peluang pertumbuhan dan menjadi pemain utama dalam landskap industri serantau.
Dalam pada itu, Presiden SMF, Lennon Tan berkata, daya saing ASEAN bergantung kepada keupayaan pengilang untuk mempercepatkan inovasi, skala pengeluaran dan kesalinghubungan bagi menggalakkan membolehkan pertumbuhan yang mampan.
“Kerjasama strategik ini akan membuka laluan yang lebih jelas kepada modal, bakat dan teknologi, sekali gus emastikan koridor pembuatan Malaysia-Singapura kekal berdaya saing dan bersedia hadapi masa hadapan,” katanya. – UTUSAN