Pemimpin juga manusia diuji, keberanian Ahmad Zahid akui kesilapan, mohon maaf sifat terpuji

Politik

BENTONG: UMNO Bahagian Bentong menyambut baik kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya selepas mengaitkan malaikat dalam konteks tekanan dihadapinya sewaktu memegang amanah sebagai Presiden UMNO.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, dalam dunia kepimpinan yang penuh tekanan dan ujian, keberanian mengakui kesilapan secara terbuka adalah sifat terpuji dan jarang dimiliki.

Jelasnya, pengakuan Ahmad Zahid bukan sahaja mencerminkan rasa tanggungjawab sebagai seorang pemimpin parti, malah menunjukkan komitmen Timbalan Perdana Menteri terhadap nilai-nilai Islam, adab dalam berucap dan prinsip keilmuan yang menjadi teras perjuangan UMNO.

“Ini adalah contoh kepimpinan matang yang tidak lari daripada teguran, tetapi menyambutnya dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai ruang untuk muhasabah dan pembaikan diri.

“Dalam suasana politik yang sering dicemari dengan keangkuhan dan keengganan untuk mengaku salah, tindakan ini wajar dihargai.

“Ia memberikan mesej jelas bahawa pemimpin juga manusia yang diuji, yang tersilap, tetapi yang paling penting adalah bersedia untuk belajar dan kembali kepada kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Ahmad Zahid memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya yang disifatkan lahir dalam suasana penuh emosi, sebagai usaha menggambarkan betapa mencabarnya ujian sebagai pemimpin.

Terdahulu, tular di media sosial ucapan Ahmad Zahid yang antara lain berkata: “Jika Allah SWT memerintahkan malaikat menjadi Presiden, malaikat pun lari malam…’ yang seolah-olah membandingkan cabaran yang terpaksa dihadapi beliau untuk menjadi Presiden UMNO.

Ucapannya itu mencetuskan kritikan pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan kenyataan dilontarkan Ahmad Zahid.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berkata, semoga langkah ini menjadi teladan kepada semua pemimpin bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada ketegasan semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata, ia terletak pada keikhlasan hati untuk terus memperbaiki diri demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN