Tarif AS ancam daya saing perdagangan PKS

Perniagaan

PETALING JAYA: Tarif 25 peratus oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport dari Malaysia merupakan satu ancaman besar kepada daya saing perdagangan dan sektor perindustrian negara, terutamanya bagi perusahan kecil dan sederhana (PKS) berorientasikan eksport yang menjadi tulang belakang ekosistem pembuatan negara.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, persatuan melahirkan kebimbangan terhadap tarif yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 ini.

“Bagi PKS yang sangat bergantung kepada pasaran AS, ini ibarat satu gempa ekonomi. 

“Kami mengiktiraf usaha berterusan kerajaan untuk mencapai satu penyelesaian perdagangan yang ‘seimbang dan saling menguntungkan’ dengan Washington, namun tindakan segera dan bersepadu diperlukan bagi mengurangkan impak terhadap PKS yang terjejas,” kataya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Samenta berharap agar kerajaan dapat mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah sokongan yang telah diumumkan sebelum ini.

“Khususnya peningkatan jaminan Skim Jaminan Permbiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM1 bilion, pinjaman mudah RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan dan tambahan RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). 

“Inisiatif-inisiatif ini perlu disalurkan dengan pantas dan tanpa kerenah birokrasi. Lebih penting lagi, langkah bantuan ini juga mesti diperluas kepada perniagaan domestik yang tidak mengeksport,” ujarnya.

Tambahnya, kesan daripada penyusutan eksport dan permintaan domestik yang lemah dijangka memberi impak yang sama teruk kepada sektor perkhidmatan. 

“Kami menggesa kerajaan untuk menghentikan semua peningkatan kos yang dirancang ke atas PKS, termasuk cadangan rasionalisasi subsidi petrol dan caj tambahan oleh agensi serta pihak berkuasa tempatan.

“Kekurangan tenaga kerja kekal sebagai antara cabaran paling kritikal, terutamanya dalam sektor perkhidmatan. 

“Kami menggesa kerajaan untuk segera mengkaji semula dan melonggarkan sekatan terhadap pengambilan pekerja asing dalam sektor seperti perkhidmatan makanan, pelancongan dan logistik,” ujarnya.

Memandangkan momentum eksport bakal berdepan cabaran, William berkata, sokongan terhadap PKS berasaskan perkhidmatan adalah penting bagi mengekalkan daya tahan ekonomi negara.

“Pelaksanaan tarif oleh AS ini merupakan satu peringatan jelas tentang keperluan segera untuk menyesuaikan semula model ekonomi kita agar memberi keutamaan kepada daya tahan dan daya saing jangka panjang 1.5 juta PKS kita berlandaskan ekonomi kreatif dan perkhidmatan.

“Samenta kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menyokong semua PKS yang terkesan secara langsung atau tidak langsung oleh tarif ini,” jelasnya. – UTUSAN