Warisan tegas tidak bergabung, fokus bela isu rakyat

Politik

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) tegas dengan pendirian untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Ia sekali gus menolak sebarang bentuk gabungan politik yang disifatkan mereka boleh menjejaskan kestabilan dan agenda perjuangan parti dalam membela nasib rakyat negeri itu.

Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, parti itu tidak mahu bergabung dengan parti lain untuk mengelakkan percanggahan agenda yang akan memberi pengaruh kepada kestabilan politik Sabah.

“Kami akan kekal sebagai satu parti sahaja, apabila berlaku penggabungan parti takut ada komplikasi politik yang mempunyai tujuan yang berbeza dengan agenda Warisan,” katanya hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, isu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menjadikan PRN Sabah kali ini menjadi persaingan yang mudah kepada pihak Warisan.

“Kami tidak akan mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku kepada mana-mana parti politik di Sabah, Warisan akan bersaing dengan cara yang adil dan semua undian terletak pada rakyat nanti. 

“Setakat ini, isu yang terjadi melibatkan parti GRS bukan satu peluang untuk parti Warisan naik semula dalam PRN kali ini,” katanya.

Tambah Jaujan, Warisan akan mengetengahkan masalah-masalah rakyat yang tidak diselesaikan oleh kerajaan sekarang.

“Sempena PRN kali ini, kami akan tetapkan dan fokus pada permasalahan tiga serangkai iaitu masalah bekalan air, pembaikan jalan raya serta maslah bekalan elektrik terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

“Semasa pemerintahan Warisan dahulu, kami tidak mempunyai ruang dan masa yang cukup untuk cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, jadi kali ini kami berharap Warisan akan tetap dengan pendirian untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat jika rakyat memberi peluang kepada kami,” katanya. – UTUSAN