PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, langkah awal bagi memastikan hala tuju pertumbuhan ekonomi negara kekal stabil di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berdasarkan mandat untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif kepada pertumbuhan mapan negara.
“Ekonomi Malaysia kekal kukuh berikutan asas domestik yang mantap, namun MPC mengambil kira ketidaktentuan global termasuk perkembangan perdagangan dan geopolitik yang boleh memberi kesan kepada prospek ekonomi negara.
“Inflasi pula dijangka terus sederhana berikutan persekitaran kos global yang terkawal serta ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan. Oleh itu, pengurangan OPR ini dilihat perlu bagi mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya dalam Wawacara bersama Bernama.
Abdul Rasheed menjelaskan pengurangan OPR bukan didorong oleh pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat (AS), sebaliknya ekonomi negara ketika ini terus menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Data suku kedua menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang terus disokong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport.
“Permintaan domestik dijangka kekal menjadi pemacu utama dengan sokongan daripada pertumbuhan pekerjaan dan gaji, khususnya dalam sektor berorientasikan domestik.
“Ini turut dibantu oleh pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan termasuk kenaikan gaji penjawat awam serta gaji minimum,” ujarnya.
Beliau berkata, pengurangan kos pinjaman susulan pelonggaran OPR juga dijangka membantu isi rumah dan perniagaan dari segi bayaran balik pinjaman.
“BNM turut menjangka aktiviti pelaburan akan terus berkembang selari dengan pelaksanaan projek swasta dan awam yang telah diluluskan, termasuk pelan induk ekonomi negara.
“Permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E), pelancongan yang rancak serta kemajuan dalam rundingan perdagangan dengan AS dijangka terus menyokong eksport Malaysia.
“Namun begitu, risiko terhadap prospek pertumbuhan kekal cenderung ke arah perlahan disebabkan kelembapan perdagangan global, sentimen ekonomi yang lemah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rasheed memaklumkan BNM akan mengumumkan semakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada minggu keempat bulan ini.
“Kami tidak menjangkakan semakan besar kerana asas ekonomi masih kukuh. Unjuran ini akan mengambil kira petunjuk ekonomi semasa dan perkembangan terkini dalam rundingan perdagangan,” katanya.
Mengulas mengenai inflasi, beliau berkata, kadar inflasi keseluruhan dan teras masing-masing mencatatkan purata 1.4 dan 1.9 peratus dalam lima bulan pertama tahun ini.
Katanya, inflasi dijangka kekal sederhana bagi sepanjang 2025, dengan tekanan harga komoditi global yang terhad dan keadaan kos dalam negeri yang masih terkawal.
“Dalam persekitaran ini, kesan pembaharuan dasar seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), turun naik harga minyak global dan pelaksanaan tarif elektrik dijangka bersifat terkawal.
“Unjuran inflasi yang dikemas kini akan diumumkan bersama semakan unjuran KDNK nanti,” katanya. – UTUSAN