JDT, Selangor buka tirai Liga M musim 2025/26 di SSI

Sukan

PETALING JAYA: Musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2025/26 bakal membuka tirainya dengan pertembungan tumpuan antara juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pencabar utama, Selangor FC dalam aksi Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pertembungan itu turut dikira sebagai perlawanan pembukaan Liga Super 2025/26, menurut pengumuman rasmi oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Saingan Liga M musim ini akan berlangsung selama 10 bulan, berakhir pada 16 Mei 2026, menyaksikan ia lebih pendek berbanding musim sebelumnya yang berlangsung selama 14 bulan akibat proses transisi jadual.

MFL menjelaskan bahawa meskipun kalendar musim penuh telah dikeluarkan lebih awal tahun ini, jadual masih tertakluk kepada perubahan, khususnya melibatkan komitmen antarabangsa JDT dan Selangor dalam saingan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“MFL kali ini mengeluarkan kalendar penuh semusim berbanding musim lalu secara berperingkat, namun kemungkinan pindaan jadual akan berlaku.

“Ia memandangkan sesi undian Kejohanan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bakal diadakan pada 15 Ogos ini membabitkan penyertaan JDT dan Selangor FC.

“Malah dua kelab ini juga akan bertanding dalam Kejuaraan Kelab ASEAN yang mana jadual lengkap perlawanan kejohanan itu hanya dikeluarkan oleh AFF semalam, sekali gus menyukarkan MFL untuk melengkapkan kalendar Liga M lebih awal untuk dikongsikan kepada kelab dan penyokong,” jelas MFL dalam satu kenyataan.

Tambah MFL, saingan Piala FA dijadual bermula pada 15 Ogos ini manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 14 Disember ini.

Kejohanan berprestij Piala Malaysia pula akan membuka tirai pada 17 Januari 2026 dan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 23 Mei 2026.

Dalam pada itu, saingan Piala Cabaran MFL bakal bermula pada 6 Februari 2026 dengan dua aksi perlawanan akhir pada 4 April 2026 dan 18 April 2026.-UTUSAN