TikTok Shop Mall lancar polisi pemulangan percuma

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, TikTok Shop terus meningkatkan pengalaman pelanggan dan langkah perlindungannya dengan melanjutkan tempoh pemulangan percuma daripada 15 hari sehingga 30 hari, khususnya untuk produk berjenama tulen yang dibeli di TikTok Shop Mall.

Pengarah Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, keyakinan pengguna merupakan asas sebuah ekosistem e-dagang yang dinamik dan mampan serta pihaknya komited untuk terus meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian buat komuniti. 

“Polisi pemulangan percuma 30 hari yang dipertingkatkan ini akan memberikan lebih jaminan kepada pembeli sambil memacu pertumbuhan jenama dan pencipta afiliasi.

“Kajian kami menunjukkan, ketenangan fikiran berkait rapat dengan tabiat pembelian yang lebih kukuh bagi lebih 80 peratus pengguna. 

“Dengan memanfaatkan polisi pemulangan percuma 30 hari dan jaminan ketulenan 100 peratus yang ketat oleh TikTok Shop Mall, jenama-jenama serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan akan dapat membina kredibiliti, mempercepat kadar penukaran jualan serta menggalakkan pembelian berulang,” katanya dalam kenyataan.

Polisi pemulangan percuma 30 hari di TikTok Shop Mall direka untuk mewujudkan pengalaman selepas jualan yang adil bagi pembeli serta penjual. 

Ia juga melindungi penjual daripada tingkah laku penipuan, dengan membenarkan mereka menolak permintaan pemulangan jika keadaan produk tidak memuaskan. 

Selain itu, TikTok Shop akan menanggung kos penghantaran bagi pemulangan atas sebab ‘tidak lagi diperlukan ’, sekali gus memberi lebih keyakinan kepada pembeli tanpa membebankan penjual.

Sejak pelaksanaannya pada awal Jun 2025, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pemulangan percuma 30 hari yang dipertingkatkan apabila membeli ribuan produk berjenama tempatan dan antarabangsa di TikTok Shop Mall, termasuk CLEF Beauty, Dododots, Christy Ng, Bonia, Elgini, Lancôme, Pensonic, Puma, Johnson’s Baby, Ogawa dan sebagainya.

Pembeli boleh mengenal pasti jenama TikTok Shop Mall secara mudah melalui lencana rasmi ‘Mall’ yang dipapar dengan jelas di sebelah tajuk produk. – UTUSAN