Misi Hakim Danish pertahan kedudukan pendahulu di Sachsenring

Sukan

PETALING JAYA: Selepas mengharungi episod mengecewakan, minggu lepas, Hakim Danish Ramli kini kembali ke kancah perlumbaan Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Sachsenring, Jerman dengan kedudukan sebagai pendahulu perlu dipertahankan pelumba muda itu, hujung minggu ini.

Mengumpul 148 mata untuk berada berada di tangga pertama carta, Hakim Danish diekori pencabar terdekatnya Brian Uriarte dari Sepanyol yang kini mengutip 116 mata dan pelumba Indonesia, Veda Pratama di tempat ketiga dengan 92 mata.

Aksi di Litar Sachsenring merupakan pusingan kelima, musim ini, yang bakal menawarkan mata untuk dua lagi perlumbaan buat pelumba-pelumba dengan Hakim Danish berada di landasan terbaik melakar sejarah buat Malaysia.

Belum ada pelumba negara yang mampu menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dalam carta sejak Piala RedBull MotoGP Rookies diperkenalkan pada 2007.

Pelumba berusia 17 tahun itu juga merupakan wakil Malaysia paling cemerlang setakat ini selepas melengkapkan saingan musim lalu di kedudukan keenam.

Dengan sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik bagi musim 2025, kedudukan semasa Hakim Danish sebagai pendahulu turut mencerahkan peluangnya layak ke Kejuaraan Dunia bagi kelas Moto3 secara merit.

Hakim Danish berkata, dia mahu kekal positif menjelang perlumbaan di Litar Sachsenring yang belum pernah diujinya sejak bergelar pelumba motosikal.

“Ini merupakan kali pertama saya berlumba di Litar Sachsenring, tetapi saya telah membuat persediaan dengan mengkaji video serta perlumbaan-perlumbaan lepas di sini.

“Saya harap dapat berikan yang terbaik dan mohon doa agar segalanya berjalan lancar minggu ini,” katanya kepada media Malaysia, hari ini.

Anak jati Terengganu itu perlu mengekalkan prestasi konsisten dalam usahanya untuk memburu sejarah buat negara dengan perlumbaan musim ini semakin hampir tiba ke penghujung jalan.

Selepas Sachsenring, hanya berbaki dua pusingan di Spielberg, Austria pada 16-17 Ogos dan aksi di Misano, Itali berlangsung pada 13-14 September.

Ini bermakna sebanyak 14 perlumbaan daripada tujuh pusingan perlu dilengkapkan pelumba dengan Hakim Danish dan rakan seperjuangan telahpun menyempurnakan lapan perlumbaan setakat ini.- UTUSAN