Pas sokong cadangan Rafizi wujud RCI kehakiman

Politik

PETALING JAYA: Pas menyokong segala usaha untuk menyelesaikan kemelut kehakiman negara termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dicadangkan oleh bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu menyokong penuh cadangan Rafizi untuk menubuhkan RCI tanpa memberi syarat seperti yang didakwa media sebelum ini.

“Tidak timbul isu bersyarat atau tidak dalam menyokong RCI ini. Pas menyokong apa jua usaha ke arah menyelesaikan kemelut pelantikan hakim yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Namun begitu, beliau berpandangan bahawa cadangan penubuhan RCI itu tidak akan membawa sebarang hasil selagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih berada di tampuk kuasa.

“RCI ini tidak akan terlaksana dan tidak akan ke mana-mana selagi PMX (Anwar) tidak menjadi XPM. Itu sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu akan menyokong cadangan Rafizi sekiranya beliau turut serta dalam  Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

Menurut Tuan Ibrahim, kehadiran Rafizi dalam perhimpunan itu akan memberi isyarat jelas bahawa dia benar-benar mahu melihat isu tersebut disiasat secara bebas dan telus.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli berkata, apa yang dinyatakan oleh Tuan Ibrahim sebelum ini hanyalah jemputan terbuka kepada Rafizi dan rakan-rakan penyokong reformasi untuk turut serta dalam  Himpunan Turun Anwar.

“Nak datang atau tidak, terpulanglah, tidak ada masalah. Soal media melaporkan perkara itu sebagai sokongan bersyarat merupakan satu bentuk salah faham oleh pihak media dan sepatutnya merujuk kepada tuan badan sendiri untuk mendapatkan kenyataan sebenar,” katanya. – UTUSAN