MA lantik Shahidan sebagai Presiden Seumur Hidup

Sukan

PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) mengumumkan pelantikan bekas presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Presiden Seumur Hidup badan induk itu sebagai tanda penghargaan sumbangan beliau kepada sukan olahraga di negara ini.

MA turut melantik beberapa bekas atlet kebangsaan seperti bekas pelari pecut negara, Zaidatul Husna Zulkifli sebagai pengurus besar badan induk itu, Datuk Zaiton Othman, G. Shanti dan Roslinda Samsu.

Zaidatul menggantikan Norhayati Karim yang kini dilantik sebagai Setiausaha Agung MA malah beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan iaitu Datuk Salim Parlan, Mejar Jeneral Datuk K.P. Bhaskaran dan Datuk Seri Harjeet Singh turut diberi peranan bersama badan induk itu.

“Sebagai contoh, Datuk Zaiton Othman boleh menyumbang dalam jawatankuasa kejurulatihan dan itu adalah sesuatu yang sangat baik. Atlet-atlet lain boleh membantu beliau dalam bidang tersebut.

“Selain itu, kehadiran mereka dalam majlis juga amat penting. Dari semasa ke semasa, mereka akan berkongsi idea-idea yang bernas kerana mereka adalah bekas atlet yang memahami sukan tersebut. Mereka akan mengemukakan cadangan kepada majlis bagi membantu kami melakukan yang terbaik untuk sukan ini.

“Ini menunjukkan bahawa kami prihatin, kami tidak meminggirkan bekas atlet, tidak seperti dahulu di mana ramai yang berasa terpinggir. Jadi ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk memperkasakan wanita dalam sukan olahraga,” kata Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim dalam satu sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Karim memberitahu keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kritikan yang diterima oleh badan induk tersebut.

“Selepas AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) kita mengambil berat untuk membangunkan sukan olahraga apabila terdapat kritikan mengatakan kami tidak bekerja kuat. Hari ini (semalam) jawatankuasa telah memutuskan untuk memberi peluang kepada bekas atlet bertugas dalam MA,” katanya. – UTUSAN