PETALING JAYA: NexG Berhad (NexG) mengumumkan cadangan pengambilalihan aset perindustrian berhampiran kemudahan perkilangannya di Petaling Jaya dengan nilai RM28.5 juta, menandakan satu peristiwa penting dalam pelan hala tuju pengembangan globalnya.
Hartanah tersebut terdiri daripada sebuah kilang dua tingkat, blok pejabat tiga tingkat, gudang dua tingkat, berserta sebuah pondok pengawal terletak di atas sebidang tanah seluas 6,182 meter persegi di Jalan 223, kira-kira dua blok dari kemudahan perkilangan NexG.
Pengambilalihan ini akan dibiayai sama ada melalui dana dalaman, pinjaman bank atau hasil daripada proses penempatan persendirian kumpulan yang sedang berjalan.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG Berhad, Datuk Hanifah Noordin berkata, pihaknya teruja untuk mengumumkan bahawa NexG sedang mencapai momentum pengembangan selanjutnya dengan pengambilalihan aset kilang, pejabat dan gudang ini.
“Kami teruja untuk mengumumkan bahawa NexG sedang mencapai momentum pengembangan selanjutnya dengan pengambilalihan aset kilang, pejabat dan gudang ini.
“Pengambilalihan ini merupakan sebahagian penting daripada pelaburan terancang kami sebanyak RM250 juta dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri (ID) sekuriti Industri 4.0 untuk meningkatkan kapasiti kami dengan ketara dan memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat untuk infrastruktur identiti yang selamat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Hanifah, dengan menyatukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran kumpulan di kawasan yang sama, pihaknya dapat mencapai kecekapan operasi yang lebih tinggi, penjimatan kos, kawalan kualiti yang lebih baik dan peningkatan kapasiti pengeluaran.
“Melalui pengukuhan keupayaan pengeluaran kami serta pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi generasi akan datang yang lain, kami sedang mempercepatkan transformasi NexG untuk menjadi peneraju serantau dalam pasaran identiti fizikal dan digital,” katanya.
Terdahulu pada Mei 2025, NexG mengumumkan rancangan untuk melabur kira-kira RM250 juta bagi membangunkan sebuah loji pengeluaran dokumen ID sekuriti yang sedia Industri 4.0, seterusnya menambah kapasiti pengeluarannya sebanyak kira-kira 50 juta unit setahun.
Pelaburan ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan setiap fasa diunjurkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan NexG sebanyak lebih 15 juta unit.
Penubuhan kemudahan perkilangan baharu ini, yang dilengkapi dengan infrastruktur keselamatan canggih, diunjurkan akan menjana hasil antara AS$100 juta (RM470 juta) hingga AS$200 juta (940 juta) bagi setiap fasa tertakluk kepada jenis dokumen dan atau penyelesaian, keperluan khusus negara, skop projek dan tahap keselamatan dokumen yang diterapkan.
Pelan pengembangan ini dibiayai melalui gabungan dana dalaman, pengumpulan dana ekuiti, perkongsian strategik dan pinjaman, meningkatkan keupayaan kumpulan dengan ketara untuk memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat bagi infrastruktur identiti yang dipercayai, selamat dan berskala. – UTUSAN