SHAH ALAM: Penganjuran Program Jualan Rahmah di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang sepatutnya diadakan pada esok didakwa dipolitikkan menyebabkan ia dibatalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nurul Syazwani Noh berkata, beliau kesal dengan tindakan tersebut kerana persetujuan untuk menganjurkannya dicapai selepas dihubungi oleh pihak yang dipercayai vendor daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Menurutnya, ketika kali pertama dihubungi pada 14 Mei lalu, sudah pun berkali-kali menjelaskan dan mengesahkan beliau adalah ADUN pembangkang yang mewakili Permatang dalam dewan negeri.
“Kami mula-mula berfikir dan berkali-kali bertanya kerana adakah mereka sudah tersalah pejabat, kerana kami adalah pembangkang. Tetapi, jawabannya mereka sendiri mengeluarkan surat tawaran dan akhirnya kami menyambut baik usaha itu demi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Selepas beberapa siri rundingan dan pengesahan rasmi, program ditetapkan berlangsung pada 12 Julai pukul 8 pagi di pekarangan Pusat Khidmat DUN Permatang, untuk pengesahan bertulis pun kami terima pada 16 Jun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Malah, Nurul memberitahu beliau juga akur apabila terdapat permintaan daripada syarikat vendor supaya mengubah kain rentang promosi dengan memasukkan logo kementerian.
“Namun, pada 9 Julai, tiga hari sebelum hari kejadian, kami diminta untuk menukar, memindahkan lokasi program atau membatalkannya tanpa alasan munasabah,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tindakan tersebut sengaja dipolitikkan oleh parti kerajaan di Tanjong Karang apabila pembangkang cuba meniru program jualan murah yang dianjurkan oleh kerajaan.
“Membuka pekung sebenar sikap hipokrit sesetengah pihak adalah apabila Timbalan Ketua PKR Tanjong Karang, Anwar Karison secara terbuka sebanyak dua hantaran dalam akaun Facebooknya.
“Yang pertama, dia kata pembangkang tiru jualan rahmahnya, seterusnya dia pun mempertikaikan kredibiliti dan integriti KPDN Selangor dengan menuduh kementerian itu bersekongkol dengan pembangkang semata-mata membenarkan program itu dilaksanakan di Pusat Khidmat DUN Permatang,” tegasnya.
Kata Nurul lagi, beliau turut mempersoalkan tindakan sedemikian yang dianggapnya menggambarkan rakyat di kawasan pembangkang tidak layak menikmati ‘rahmah’ hanya kerana mereka tidak menyokong kerajaan.
“Jadi saya ingin mengingatkan kerajaan, dana program itu datang daripada rakyat, bukan dana parti politik, PKR atau mana-mana parti,” ujarnya. – UTUSAN