Inovasi pengadilan FIFA raih pujian – Collina

Sukan

EAST RUTHERFORD : Inovasi teknologi dan peraturan baharu dalam sistem pengadilan pada edisi sulung Piala Dunia Kelab FIFA 32 pasukan mendapat sambutan hangat, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.

Antara yang diperkenalkan termasuk kamera badan (ref cam) pada pengadil, peraturan lapan saat untuk penjaga gol, dan teknologi ofsaid separa automatik versi baharu semuanya diuji buat kali pertama sepanjang kejohanan berlangsung di Amerika Syarikat.

Collina menyifatkan penggunaan kamera badan sebagai satu kejayaan besar, memberikan sudut pandang eksklusif kepada penonton serta dimanfaatkan dalam latihan dan pembangunan pengadil.

“Hasilnya melebihi jangkaan kami. Ia bukan sekadar hiburan tetapi alat latihan yang sangat berguna,” katanya kepada saluran media FIFA.

Beliau turut menjelaskan bagaimana kamera badan membantu menjernihkan situasi pengadilan, seperti dalam perlawanan peringkat kumpulan antara Atletico Madrid dan Paris Saint Germain (PSG), apabila insiden ‘handball’ gagal dilihat pengadil kerana sudut penglihatan yang terhalang.

“Melalui rakaman itu, jelas mengapa pengadil tidak menyedari insiden tersebut secara langsung,” ujarnya, sambil memuji peranan VAR yang kemudiannya mengesahkan sepakan penalti.

Turut diperkenalkan ialah peraturan baharu yang memberi sepakan penjuru kepada pasukan lawan jika penjaga gol memegang bola lebih daripada lapan saat berbanding hanya sepakan percuma tidak langsung sebelum ini.

“Ia satu kejayaan. Perlawanan menjadi lebih lancar dan pantas,” jelas Collina.

Sepanjang kejohanan, seramai 117 pegawai perlawanan dari 41 negara terlibat, termasuk 35 pengadil utama, 58 pembantu pengadil, dan 24 pegawai VAR, mengendalikan keseluruhan 63 perlawanan.

Piala Dunia Kelab 2025 akan melabuhkan tirainya awal pagi Isnin ini apabila PSG bertemu Chelsea dalam aksi final yang dinanti-nantikan di Stadium MetLife, New Jersey.-AGENSI