MPOC jana potensi jualan RM188.5 juta dalam program Trade Networking Visit

Perniagaan

PETALING JAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya menjana potensi jualan berjumlah RM188.5 juta hasil daripada penganjuran program Trade Networking Visit yang berlangsung pada 8 hingga 10 Julai lalu.

Program itu bertujuan mempromosikan minyak sawit Malaysia serta memperkukuh hubungan perdagangan dengan pasaran antarabangsa, khususnya di wilayah berpotensi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, pasaran di Afrika, ASEAN dan Asia Tengah mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit negara pada 2024.

“Kami berbesar hati dengan minat yang tinggi ditunjukkan pasaran ini yang terus menjadi fokus utama strategi kepelbagaian eksport MPOC.

“Seiring pertumbuhan permintaan dalam sektor tradisional dan baharu, tumpuan MPOC terhadap pasaran ini akan terus dipertingkatkan. 

“Maklum balas positif terhadap sesi BizMatch membuktikan keberkesanan usaha libat urus dan capaian pasaran yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan.

Lawatan tersebut turut merangkumi kunjungan ke Eco Garden milik Sime Darby Plantation di Pulau Carey, sekali gus memberi peluang kepada delegasi antarabangsa menyaksikan sendiri operasi huluan industri sawit negara.

Bagi kebanyakan peserta, lawatan itu merupakan kali pertama mereka melihat secara langsung proses penanaman dan penuaian kelapa sawit.

Delegasi juga dibawa melawat kilang penapisan dan pembungkusan milik KLK Alami Edible Oils Sdn. Bhd. bagi meninjau keupayaan hiliran negara serta komitmen industri terhadap kawalan kualiti.

Selain itu, sesi dialog industri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut diadakan sebagai platform pertukaran pandangan mengenai hala tuju industri sawit negara.

Belvinder berkata, pihaknya menghargai sokongan berterusan daripada pembekal tempatan serta sambutan positif pembeli antarabangsa terhadap inisiatif tersebut.

“Ini membuktikan nilai program sebegini dalam memperkukuh jaringan dan hubungan perdagangan global.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima, MPOC akan meneliti potensi untuk menganjurkan program seumpama ini secara lebih kerap, khususnya di pasaran yang menunjukkan pertumbuhan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, MPOC kekal komited dalam memperluas akses pasaran, memupuk kerjasama jangka panjang serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak dan lemak yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab.

“Ini seiring dengan peningkatan minat global terhadap produk minyak sawit mampan dan bernilai tambah,” katanya.

Program tersebut menghimpunkan 56 pembeli antarabangsa dari 23 negara, merangkumi wilayah utama seperti Sub-Sahara Afrika, Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), ASEAN, Eropah Timur serta Asia Tengah.

Antara sorotan utama ialah sesi BizMatch yang berlangsung pada 10 Julai melibatkan lebih 400 pertemuan berjadual antara 25 pembekal utama minyak sawit Malaysia dan pembeli luar negara.-UTUSAN