Carsome, Bateriku.com meterai kerjasama perkukuh ekosistem automotif

Perniagaan

PETALING JAYA: CARSOME Sdn. Bhd. (Carsome), platform e-dagang automotif terbesar di Asia Tenggara, memeterai kerjasama strategik bersama Bateriku (M) Sdn. Bhd. (Bateriku.com), penyedia perkhidmatan penggantian bateri terkemuka di Malaysia. 

Kerjasama tersebut bertujuan bagi memperkukuh ekosistem Carsome dengan menawarkan kemudahan tambahan kepada pelanggan melalui perkhidmatan bateri yang diintegrasikan merentasi pelbagai saluran.

Menerusi kerjasama strategik ini, pelanggan Carsome kini boleh menempah perkhidmatan penggantian bateri Bateriku.com secara langsung melalui aplikasi dan laman web Carsome, pada bila-bila masa sahaja.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Carsome, Eric Chan berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan memiliki kenderaan kepada pelanggan dengan lebih menyeluruh. 

“Kerjasama dengan Bateriku.com membolehkan kami melanjutkan komitmen terhadap kemudahan dan kepercayaan pelanggan dengan mengintegrasikan perkhidmatan penggantian bateri yang diyakini ke dalam ekosistem kami,” katanya dalam kenyataan. 

Chan berkata, kolaborasi itu turut menyaksikan penggunaan bateri berkualiti tinggi keluaran Bateriku.Com, Astra, di dalam proses baik pulih kenderaan bagi memastikan kualiti kenderaan tersebut sebelum dihantar kepada pelanggan. 

Menurut Chan, pelanggan Carsome juga boleh menikmati diskaun istimewa sebanyak RM50 untuk penggantian bateri di lokasi mereka menerusi kod promosi CARSOME50 (tertakluk kepada terma dan syarat).

Selain itu, kerjasama itu turut memperluas jaringan Carsome melalui lebih 220 outlet Pitstop Bateriku.com di seluruh negara, berfungsi sebagai pusat akses untuk pelanggan mendapatkan penilaian kenderaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), tempahan pemeriksaan serta urusan jual beli kenderaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi berkata, kerjasama dengan Carsome memperkukuh lagi misi syarikat untuk menyampaikan penyelesaian automotif yang menyeluruh serta mampu memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik kenderaan.

“Astra bukan sekadar bateri, ia adalah janji terhadap kualiti dan sokongan selepas jualan yang konsisten. Kerjasama ini adalah simbolik kepada kepercayaan dan komitmen bersama dalam memperkasa ekosistem automotif negara,” katanya.

Menurut beliau, Bateriku telah menjual lebih 500,000 unit bateri Astra dengan kadar tuntutan waranti kurang daripada 0.5 peratus, mencerminkan tahap keandalan produk yang tinggi.

Dengan kehadiran lebih 1,500 juruteknik mudah alih (BHero) dan liputan seluruh negara, Bateriku dilihat sebagai rakan kongsi strategik ideal bagi Carsome dalam meneruskan inovasi serta memperluaskan skop perkhidmatannya.-UTUSAN