LONDON: Amanda Anisimova melakar kejutan terbesar di Wimbledon 2025 apabila menyingkirkan pilihan utama Aryna Sabalenka 6-4, 4-6, 6-4 untuk mara ke final Grand Slam pertamanya di gelanggang rumput keramat itu, awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik itu meletakkan pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 23 tahun itu di ambang sejarah, dengan final menantinya pada Sabtu menentang bintang Poland, Iga Swiatek.
“Ini macam mimpi. Saya hampir pengsan di tengah gelanggang tadi, tapi tak tahu macam mana saya berjaya harunginya.
“Kami dah banyak kali bertarung sengit dan untuk kali ini, dapat muncul sebagai pemenang serta mara ke final Wimbledon memang tak dapat digambarkan,” kata Anisimova.
Anisimova sebelum ini pernah digelar sensasi remaja selepas ke separuh akhir Roland Garros 2019 ketika baru berusia 17 tahun, namun prestasinya merudum akibat tekanan dan gangguan emosi.
Dia mengakui mengalami kemurungan sehingga terpaksa berehat lapan bulan pada 2023, malah rankingnya pernah menjunam di luar kelompok 400 dunia sebaik kembali beraksi.
“Saya rasa hidup saya waktu itu tak adil. Orang tengok kami macam robot, tapi saya juga manusia biasa,” katanya.
Namun sejak awal tahun ini, kebangkitannya makin terserlah dengan menjuarai Terbuka Qatar dan mara ke final Queen’s Club, sebelum mengesahkan kemunculan pertamanya dalam kelompok 10 terbaik dunia minggu depan.
Bagi Sabalenka pula, kekalahan ini adalah luka baharu selepas kecundang dalam dua final Grand Slam 2025 iaitu di Terbuka Australia dan Roland Garros, walaupun muncul juara Terbuka AS tahun lalu.
“Sakitnya kalah begini… macam nak hilang dari dunia,” kata pemain Belarus itu. – AGENSI