KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia buat julung kalinya melancarkan hidangan edisi terhad, Fan Fries Meal bagi meraikan Hari Kentang Goreng Sedunia yang turut menyaksikan pengambilalihan penuh paparan Digital Out-of-Home (DOOH) di Bukit Bintang di sini, malam tadi.
Tepat pukul 8.30 malam, skrin digital utama di sekitar lokasi bertukar menjadi lautan cahaya keemasan, menampilkan visual kentang goreng McDonald’s sebagai simbolik sambutan yang diraikan secara besar-besaran.
Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee berkata, pelancaran itu bukan sahaja mencetuskan keterujaan orang ramai di lokasi, malah memberi pengalaman unik kepada para peminat setia kentang goreng McDonald’s.
“Fan Fries Meal merupakan hidangan McValue terhad iaitu kentang goreng bersaiz XXL yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia bersama padanan minuman menyegarkan dan snek sampingan.
“Hidangan ini adalah inspirasi daripada kecintaan pelanggan terhadap snek sampingan tersebut.
“Kami tahu rakyat Malaysia tidak pernah cukup dengan kentang goreng kami, maka pelancaran produk ini adalah dari peminat untuk peminat,” katanya dalam kenyataan.
Chin Mei berkata, McDonald’s Malaysia mahu mencipta sesuatu yang lebih daripada sekadar makanan iaitu detik gembira yang boleh dikongsi bersama orang tersayang.
“Sama ada dinikmati bersama keluarga atau rakan, Fan Fries Meal adalah tanda penghargaan kami kepada pelanggan yang selama ini menyokong McDonald’s,” katanya.
Hidangan edisi khas itu hanya ditawarkan selama tiga hari bermula semalam dengan harga RM10 untuk satu set di semua cawangan McDonald’s seluruh negara.
“McDonald’s bukan sekadar menyajikan makanan, namun kami mencipta momen. Sama ada menerusi visual atau hidangan yang sederhana, kami sentiasa mencari pendekatan kreatif untuk menceriakan hari pelanggan,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Luqman Hafizi Shahfuddin, 24, berkata pelancaran hidangan ini amat dinanti-nantikannya sebagai pencinta kentang goreng.
“Saya selalu menulis di ruangan komen media sosial mereka untuk keluarkan kentang goreng bersaiz besar. Saya tidak sangka saya dapat menikmatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, jenama itu mencetus fenomena apabila melancarkan lintasan pejalan kaki bertema kentang goreng di persimpangan Bukit Bintang dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
McDonald’s Malaysia juga menampilkan kentang goreng gergasi yang dipancarkan ke Menara Kuala Lumpur menerusi kempen Icon Meets Icon pada tahun lalu. – UTUSAN