KUALA LUMPUR: Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah mahu membuktikan mereka masih ‘bernilai’ selepas menandatangani kontrak baharu dengan Persatuan Badminton malaysia (BAM).
Dengan berakhirnya ‘kemelut’ kontrak dengan badan induk itu kelmarin, pasangan No.3 dunia itu juga mengakui lega dan kini boleh memberikan tumpuan 100 peratus pada latihan dan tiga kejohanan besar selepas ini.
Thinaah mengakui dia dan Pearly lega apabila kemelut kontrak yang berlanjutan sejak tujuh bulan lalu akhirnya berjaya diselesaikan selepas beberapa kali tertangguh akibat jadual pertandingan yang terlalu padat.
“Kami benar-benar lega semuanya telah mencapai persetujuan, dan sekarang kami hanya mahu lihat ke depan.
“Bukan salah mana-mana pihak melengahkan rundingan, cumanya jadual kejohanan kami terlalu padat sejak awal tahun,” kata Thinaah pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Kelmarin, pasangan No. 3 dunia itu menandatangani kontrak baharu selama empat tahun bersama BAM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Dalam pada itu, Pearly berkata, dengan termeterainya kontrak itu, mereka kini boleh menumpukan sepenuhnya perhatian kepada prestasi di gelanggang tanpa diganggu lagi isu luar.
Menurutnya, kontrak itu hadir tepat pada masanya menjelang tiga kejohanan utama iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China dan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bulan ini.
“Sekarang kami boleh sangat fokus pada badminton dan harap dapat kekalkan prestasi untuk semua kejohanan.
“Kami memang dari dulu cuba dapatkan pingat di kejohanan utama, dan kami terus beri yang terbaik dalam latihan,” kata Pearly yang bersama Thinaah muncul juara Terbuka Thailand dan finalis Terbuka Indonesia musim ini.-UTUSAN