Zaidatul Husna sedia galas tugas berat

Sukan

PETALING JAYA: Bekas pelari pecut negara, Zaidatul Husna Zulkifli menyifatkan pelantikannya sebagai Pengurus Besar Olahraga Malaysia (MA) sebagai satu cabaran besar, namun akan memberikan komitmen terbaik demi kebajikan atlet tanah air.

Zaidatul percaya perspektifnya sebagai bekas atlet kebangsaan memberi kelebihan untuk lebih memahami denyut nadi para atlet.

“Selepas ini saya akan buat kerja dengan lebih elok dan adil kepada atlet, sebab saya tahu macam mana perasaan mereka. Saya merupakan bekas atlet kebangsaan, jadi saya pernah berada dalam sistem dan faham suara mereka,” katanya.

Menurut Zaidatul, meskipun masih baharu dalam jawatan itu dan mengakui dirinya masih muda dalam struktur pentadbiran sukan negara, beliau menyambut amanah tersebut sebagai satu tanggungjawab besar yang akan digalas sebaik mungkin.

“Sebenarnya saya takut juga sebab tanggungjawab ni besar. GM bukan jawatan biasa-biasa. Tapi bekas GM, Norhayati Karim kata kepada saya, Insya-Allah boleh, Jadi saya akan cuba sedaya upaya,” katanya.

Zaidatul yang bakal memulakan tugas secara rasmi bermula Ogos ini berkata, fokus awalnya adalah untuk memperkemaskan semula aspek pentadbiran, termasuk menyusun strategi serta memastikan urusan pengurusan atlet berjalan lebih teratur.

“Saya akan urus bahagian pentadbiran. Itu bermaksud saya akan susun balik strategi, urus semua perkara berkaitan,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai perasaannya terhadap lantikan tersebut, Zaidatul mengakui teruja namun pada masa sama mengambilnya sebagai satu cabaran untuk membuktikan keupayaan dalam struktur sukan kebangsaan.

Zaidatul sebelum ini bertugas sebagai pegawai Belia dan Sukan di bawah Universiti Malaya (UM) dan kemudiannya meletak jawatan untuk menyertai pentadbiran MA secara sepenuh masa.- UTUSAN