SUNGAI BULOH: UMNO Bahagian Selayang mengusulkan agar kerajaan melakukan intervensi segera bagi menggesa Peguam Negara menarik balik rayuan terhadap semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua bahagiannya, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican berkata, penarikan balik rayuan itu penting bagi membuka ruang kepada Mahkamah Tinggi untuk menilai semula semakan kehakiman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri tersebut secara adil dan menyeluruh.
Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan proses keadilan berjalan dengan saksama tanpa gangguan politik atau persepsi berat sebelah.
“Kita di UMNO Selayang percaya keadilan tidak akan dapat ditegakkan sekiranya ruang untuk semakan kehakiman disekat.
“Kami akan membawa usul ini dalam mesyuarat perwakilan hari ini agar kerajaan melalui Peguam Negara menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang kali ke-37 Tahun 2025 hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hasnal berkata, UMNO Selayang juga mengusulkan agar kerajaan segera melaksanakan Titah Adendum yang didakwa telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
“Kami menghargai pendirian Presiden UMNO yang konsisten dalam memperjuangkan keadilan termasuk kesediaan beliau mengikrarkan afidavit menyokong kewujudan Titah Adendum, meskipun tindakan itu berisiko tinggi terhadap kedudukan beliau,” ujarnya.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti. – UTUSAN