GOMBAK: Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk kekal sebagai gabungan politik dominan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan BN terletak pada struktur organisasinya yang kukuh serta jentera parti yang sentiasa bersedia digerakkan.
Katanya, ia bukan sekadar dalam bentuk kerjasama atas kertas tetapi melalui pelaksanaan gerak kerja yang berkesan di semua peringkat.
“Kita mahu kekal dominan. Ia bukan sekadar di atas kertas, tetapi menerusi gerak kerja yang kita laksanakan secara konsisten dan tersusun.
“Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Maka strategi kita juga perlu menitikberatkan penyatuan dan keseimbangan antara kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang kali ke-37 di sini hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun beliau menentang tekanan supaya BN bergerak solo dalam PRU akan datang sebaliknya menjelaskan parti itu akan menggunakan logonya sendiri namun bersama dengan Pakatan Harapan (PH).
Malah, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama dilakukan oleh BN adalah dengan PH, bukan secara langsung dengan DAP yang ada sebagai komponen dalam gabungannya bersama PKR dan Amanah.
“Yang marah kita dengan ‘UMDAP’ pasal apa? Kita ada perjanjian dengan DAP? Tidak pernah. Perjanjian kita saya kata, antara BN dan PH yang di dalamnya dalam ada DAP. DAP tidak pernah menentang kita.
“Di dalam 10 wishlist itu, DAP tidak pernah menentang kita, di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera DAP tidak menentang, (begitu juga) dalam agenda Melayu dan Islam. Yang takut sangat kenapa, bukan saya hendak puji DAP, tidak. Sebab mereka bersetuju dengan kita,” jelasnya.-UTUSAN