GOMBAK: UMNO tidak akan meminggirkan rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC dan Friends of BN (FOBN) untuk menghadapi pilihan raya akan datang walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, namun beliau bertegas tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan dalam komponen dan meminta mereka memahami landskap politik kini tidak seperti dahulu.
“Ya, ketika ini mereka susah. MIC hanya ada satu kerusi, MCA dua kerusi, PBRS satu di Sabah. Zaman mereka susah pun kita pun susah juga. Kita ada 26, dahulu pernah ada 64, 87 dan sebelum itu 100 lebih.
“Kita sama-sama susah, Insya-Allah UMNO tidak akan pernah meninggalkan MCA, MIC atau PBRS serta rakan-rakan FOBN. Itu cara kita bekerja. Tetapi janganlah susah sangat, ugut hendak keluarlah.
“Kalau aku ugut, keris letak dekat belakang tau. Tak akan dimasukkan balik kalau tak nampak darah di hujung keris. Tak faham tak apa, kalau faham bagus. Katanya, jangan dicabar. Yang kita jaga bukan kedudukan, jawatan, kita jaga adalah parti kita,” katanya ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan MCA perlu terus kekal bersama BN walaupun menghadapi cabaran terutama berkaitan pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, ketika BN kini bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan, cabaran berkenaan pengagihan kerusi juga dihadapi oleh UMNO.
Ahmad Zahid berkata, beliau turut mengingatkan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas dan mengulangi sikap pimpinan parti itu yang dikatakan pernah dialami oleh PKR dan DAP ketika berada dalam Pakatan Rakyat.
“Apa yang Anwar Ibrahim (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) kena, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Hamzah kena, DAP pun kena, apa parti yang dia (Pas) tak pernah kerjasama?
“Biarlah parti kita namanya bukan parti Islam, tetapi parti Melayu. Namun, perjuangan Islam tidak pernah lekang daripada hati dan minda kita,” ujarnya. – UTUSAN