BN tolak cadangan tubuh RCI badan kehakiman

Politik

GOMBAK: Barisan Nasional (BN) menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara kerana ia bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berpandangan pelantikan Ketua Hakim Negara adalah urusan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang dibuat berdasarkan Perlembagaan dan atas nasihat Perdana Menteri.

“UMNO dan BN berpegang kepada tiga kenyataan rasmi yang dikeluarkan iaitu oleh Jabatan Peguam Negara (8 Julai), Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi (9 Julai), serta kenyataan dari Istana Negara (10 Julai).

“Sebarang usaha untuk menubuhkan RCI adalah bertentangan dengan semangat kenyataan ketiga-tiga institusi ini. BN konsisten menolak sebarang cubaan mempolitikkan pelantikan Ketua Hakim Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Selayang Kali Ke-37 Tahun 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kepercayaan sepenuhnya perlu diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan pelantikan tersebut.

“Siapa pun yang diperkenankan, ia adalah hasil penelitian terhadap latar belakang dan integriti calon. Maka, semua pihak perlu akur dan menghormati keputusan baginda,” ujarnya.

Mengulas desakan segelintir pihak agar Perdana Menteri berundur, Ahmad Zahid menyifatkan perkara itu tidak relevan kerana kerajaan ketika ini masih mempunyai sokongan kukuh di Dewan Rakyat.

“Beliau mendapat dokongan 153 Ahli Parlimen. Walaupun terdapat sembilan Ahli Parlimen PKR yang mempunyai pandangan berbeza, ia hanya berkaitan cadangan RCI dan bukannya keabsahan kepimpinan Perdana Menteri.

“Saya belum dengar sebarang usul rasmi dibawa ke Dewan Rakyat berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen daripada BN malam tadi bagi membincangkan mengenai perkembangan isu semasa dan penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan. – UTUSAN