Dari papan piano ke ‘kandang’ muay thai

Sukan

“Saya ingin tunjukkan bahawa muay thai bukan sekadar tentang bertarung, tetapi juga tentang memelihara warisan yang sangat berharga.”

Demikian luahan atlet sukan tempur negara, Yan Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie, yang menunjukkan rasa cintanya terhadap bidang yang diceburi kini.

Atlet kelahiran Johor namun membesar di Sabah ini aktif dalam dunia muzik sejak berusia enam tahun. Siapa sangka, ‘sumandak’ ini kini muncul sebagai wajah baharu dalam sukan muay thai negara.

Segalanya bermula secara tidak dirancang apabila Angie, yang dahulunya pemain piano sepenuh masa, menemani rakan ke gim muay thai. Awal tahun 2019, dia mula mendalami seni tempur dari Thailand itu dan terus jatuh hati.

“Pada mulanya saya hanya datang tengok. Tetapi kali kedua saya pergi, saya cuba masuk kelas dan dari situ saya teruskan. Saya tidak sangka ia akan jadi sebahagian besar hidup saya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Permulaannya tertumpu kepada aspek pertarungan dan pertandingan, namun lama-kelamaan, Angie mula mendekati sisi budaya muay thai, khususnya acara Wai Kru dan Mae Mai yang menekankan keindahan gerakan, ketepatan dan makna spiritual.

Angie mencipta kejayaan manis apabila merangkul pingat emas menerusi acara Wai Kru dengan kutipan mata tertinggi, 9.53, dalam Kejohanan Muay Thai Asia IFMA 2025 di Thai Nguyen, Vietnam.

Bagi Angie, ramai orang hanya melihat muay thai sebagai sukan lasak yang agresif, sedangkan ia turut menyimpan nilai seni, budaya dan sejarah.

“Wai Kru bukan sekadar tarian pemanas badan. Ia lambang penghormatan kepada guru, seni, dan perjuangan. Setiap gerakan ada makna. Setiap langkah membawa roh sukan ini.

“Ramai anggap muay thai hanya tentang bertumbuk. Tapi bagi saya, ia adalah seni yang mendidik jiwa. Kita kena faham dan hormati sejarahnya,” katanya.

Atlet berusia 21 tahun itu kini lebih dikenali dalam acara seni Wai Kru dan Mae Mai berkata, dia bukan sekadar atlet di gelanggang, malah mengangkat martabat muay thai melalui persembahan dan pemahaman mendalam terhadap seni itu.

Baru-baru ini, Angie mencipta kejayaan manis apabila merangkul pingat emas menerusi acara Wai Kru dengan kutipan mata tertinggi, 9.53, dalam Kejohanan Muay Thai Asia IFMA 2025 di Thai Nguyen, Vietnam.

Lebih membanggakan, dia turut diberi kepercayaan sebagai pengulas rasmi peringkat akhir bagi acara Wai Kru Mae Mai Muay, satu penghargaan luar biasa buat atlet muda sepertinya.

“Walaupun saya tidak sihat ketika itu, saya tetap beri yang terbaik. Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk bukan sahaja bertanding, tetapi juga berkongsi maksud dan nilai budaya sukan ini dengan penonton lain,” katanya.

Angie sedar jalan yang dipilih bukan mudah, lebih-lebih lagi kerana sukan ini sering didominasi lelaki.

“Ada yang fikir saya tidak cukup kental kerana tidak berlawan secara agresif. Tapi saya tahu apa yang saya bawa iaitu seni, maruah, dan kesinambungan budaya,” katanya.

Juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali berturut-turut itu juga mengakui perjalanan ini menuntut ketahanan fizikal, mental dan disiplin yang tinggi.

“Saya masih belajar, kadang-kadang memang penat, terutama bila kelas universiti bertindih dengan jadual latihan, namun, saya percaya bila kita tahu matlamat kita, kita akan tetap teruskan walau apa pun halangan,” katanya.

Angie turut bersyukur atas sokongan ibunya yang sentiasa memberi semangat, serta Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Shahnaz Azmi yang membuka ruang untuknya berkembang dalam sukan ini.

“Ibu sentiasa di sisi saya, uruskan jadual latihan dan menemani saya ke kejohanan. Dialah yang ingatkan saya kenapa saya mula, dan keyakinannya buat saya terus kuat.

“Saya juga takkan berada di sini tanpa bimbingan dan peluang daripada PMM. Mereka percaya kepada potensi saya dan beri saya platform untuk mewakili negara,” tambahnya.

Kini, impian Angie adalah memperluas seni Wai Kru dan Mae Mai bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa sebagai lambang kekuatan budaya yang halus namun penuh makna.

“Saya datang dari dunia muzik, bukan dunia sukan. Kalau saya boleh berubah dan berjaya dalam bidang ini, saya percaya orang lain pun boleh. Yang penting, jangan takut untuk bermula,” katanya.

Angie kini sedang giat menjalani latihan intensif bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Thailand, Disember ini dan berharap dapat mencipta sejarah baharu demi membuktikan usahanya dalam mengangkat seni budaya muay thai bukanlah sia-sia.-UTUSAN